Wednesday 28 March 2012

Kelantan Tetap Beri Tentangan Kepada SPA FC

Pemain import Kelantan, Onyekachi Nwoha yang beraksi cemerlang perlawanan lepas terus diberi kepercayaan sekali lagi mengemudikan bahagian serangan Kelantan malam ini.

KOTA BHARU – ‘Jangan harap kami beri ihsan.‘ Itu pesanan ringkas pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak kepada pasukan KL SPA FC menjelang pertemuan suku akhir kedua kempen Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Meskipun sudah mempunyai bekalan selesa, namun Hodak tampil memberi kenyataan berbentuk psikologi dan enggan sesekali menunjukkan perasaan belas kasihan kerana apa yang pasti anak buahnya sudah ‘dikerahkan’ menjaringkan seberapa banyak gol di hadapan penyokong sendiri dalam saingan timbal balik ini.
“Kita akan turun beraksi macam biasa seperti mana anda lihat kita menguasai 70 peratus perlawanan dalam suku akhir pertama tempoh hari.
“Lebih penting kita perlu menjaringkan gol awal dan bukan menunggu sehingga minit ke-45 perlawanan. “Saya tahu KL SPA FC akan bermain habis-habisan. “Mereka sebuah pasukan yang bagus dan berpotensi untuk bermain dalam Liga Premier, tetapi harus ingat malam ini mereka bukan sahaja perlu berhadapan dengan 11 pemain Kelantan tetapi juga sokongan ribuan penyokong kita di sini,” katanya.
Ketika ramai pemerhati bola sepak menganggap The Red Warriors sudah sebelah kaki mengetuk pintu separuh akhir, namun pada masa sama Hodak turut tidak terlepas melontarkan amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak memandang mudah pertemuan ini. “Ia berkisar bagaimana saya perlu menyuntik motivasi kepada pemain saya.
“Mereka pasukan liga divisyen ketiga (Liga FAM) dan kita sudah menang 3-0 tetapi dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku. “Saya sendiri tidak boleh meramalkan apa yang berlaku pada perlawanan ini,” katanya.
Atas faktor keletihan, jurulatih kelahiran Croatia itu juga turut mengesahkan akan melakukan rombakan kecil terhadap pasukan dengan merehatkan beberapa tonggak utama pada perlawanan malam ini. “Kita baru balik ke Kota Bharu dua hari lalu, dan hari ini (semalam) pemain hanya menjalani latihan ringan sahaja.
“Sepanjang minggu lalu, kita kena bermain di tempat lawan dan saya tahu semua pemain mengalami kepenatan. “Saya akan menilai prestasi pemain dalam sesi latihan petang ini (semalam).
“Apa yang pasti dua atau tiga pemain akan direhatkan, sementara S Subramaniam yang disahkan pulih daripada kecederaan akan kembali memperkuatkan benteng pertahanan Kelantan,” katanya.
Ketiadaan beberapa pemain utama memberi peluang kepada Hodak untuk terus menggandingkan pemain import Onyekachi Nwoha yang beraksi cemerlang dalam saingan suku akhir pertama tempoh hari dengan bekas pemain T-Team musim lalu, Mohd Norfarhan Muhammad di jentera serangan Kelantan pada pertemuan ini.

Petikan dari Klate.Net


Kelantan Sebelah Kaki Ke Separuh Akhir

KL SPA gagal tandingi kehebatan The Red Warrior
BUKIT JALIL- Dua jaringan dari Mohd Norfarhan pada separuh masa kedua dan gol dari ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi menjelang penghujung separuh masa pertama member bekalan selesa buat Kelantan menjelang pertemuan kedua selepas menewaskan KL SPA 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalij, semalam.
Badhri mencatatkan nama selaku penjaring melalui rembatan pada minit 45 separuh masa pertama sebelum Mohd Norfarhan meletakkannya sebagai pengempur berbisa melalui dua jaringan pada minit 46 dan 76 separuh masa kedua.
Keinginan pelawat untuk mencari kemenangan bermula pada babak pertama melalui pemain sayap kanan Kelantan, S.Canturu yang melepaskan tendangan kencang disebelah kiri gawang tuan rumah yang gagal ditangkap kemas oleh Nuraizat pada minit ke-8.
Pelawat terus mengandakan asakan selang dua minit kemudian melalui Mohd Farhan namun sekali lagi pemain berkenaan gagal menyudahkan hantaran lintang dari S.Canturu menyebabkan kira-kira 3,000 penyokong The Red Warrios kehampaan.
Indra Putra turut mendapat peluang pada minit ke 10 dan 12  melalui tandukan dan sepakan depan penjaga gawang namun kedua-dua tersasar sebelum pemain import Kelantan , Nwoha turut terlepas beberapa peluang terhidang
Beberapa peluang terus terhidang bermula minit 28 dan 30 namun ia gagal disempurnakan oleh jentera serangan Kelantan ketika pemain pertahanan tuan rumah dilihat seakan-akan keletihan mengeluarkan bola dari kawasan depan gawang gol.
Tuan rumah mempunyai peluang keemasan pada minit 42 melalui Khairol Azry namun tolakannya ketika berhadapan dengan penjaga gawang pelawat, Mohd Shahrizan terkena tiang sebelah kiri sebelum bola melantun keluar.
Kelantan akhirnya memecahkan kebuntuan pada penghujung separuh masa pertama apabila larian solo ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi  yang mengelecek dua pemain pertahanan lawan diluar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan menggegarkan jaring gol disebelah kanan penjaga gawang KL SPA, Nuraizat.
Keghairan pelawat mencari bekalan selesa menjelang pertemuan suku akhir kedua di Kota Bharu diteruskan wisel kedua ditiupkan pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri melalui gerakan yang dipimpin Badhri bersama Shakir Shaari.
Kelantan memperolehi gol kedua pada minit ke 46 melalui Norfarhan selepas mudah menyempurnakan bola muntah didepan gawang hasil rembatan Nwoha yang berjaya ditampan penjaga gawang.
Enggan menyerah kalah, KL SPA turut melancarkan serangan dan hampir memperolehi gol namun rembatan dari luar kotak penalti oleh Muhd Nur Saiful pada minit 59 namun bola terkena tiang sebelah kanan ketika Mohd Sharizan sudah tertewas.
Norfarhan sekali lagi menjadi aset penting apabila berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke 76 melalui rembatan didalam kotak penalti yang gagal dihalang Nuraizat sebelum bola bergolek melepasi garisan gol .
Kelantan terus mengandakan serangan menjelang 15 minit terakhir namun gagal membuahkan hasil, ketika penyokong Kelantan bersorak riang dengan kemenangan berkenaan

Petikan dari Klate.net


Monday 19 March 2012

Red Warriors Ke Suku Akhir

KELANTAN 3
Mohd Norfarhan Muhammad (m-30)
Indra Putra Mahayuddin (m-43)
Mohd Badhri Radzi (m-65)
KUALA LUMPUR 2
Muhammad Afiq Azmi (m-39)
Fazuan Abdullah (m-90+2)
KOTA BHARU – Naib juara Piala FA musim lalu, Kelantan menempah tempat ke suku akhir setelah mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi perlawanan pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kemenangan malam tadi menyaksikan The Red Warriors akan bertemu kelab KL SPA FC dalam saingan suku akhir pada 24 dan 27 Mac ini setelah kelab tersebut melakarkan kejutan menewaskan Preach Khan Reach FC dari Kemboja 1-0 dalam perlawanan yang turut dilangsungkan serentak malam tadi.
Beraksi di hadapan hampir 25,000 penyokong setia The Red Warriors, pasukan Kuala Lumpur terlebih dahulu menguji pintu gol Kelantan menerusi rembatan leret Stanley Bernard Stephen Samuel seawal minit pertama perlawanan namun mudah diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Enam minit kemudian, giliran The Red Warriors mencemaskan pintu gol Kuala Lumpur namun rembatan kencang pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin sempat ditepis keluar penjaga gol, Rozaimie Rohim.
Begitu pun pasukan pelawat kembali menampilkan aksi garang apabila terus menduga kehebatan Khairul Fahmi di gawang gol Kelantan menerusi rembatan Muhammad Syafiq Johari dari jarak 30 meter namun sedikit melewati pintu gol.
Pada m-19 perlawanan, Rozaimie sekali lagi dipaksa bekerja keras menahan asakan pemain Kelantan kali ini menerusi rembatan leret Muhammad Ramzul Zahini Adenan yang terus ke dakapannya.
Aksi sepanjang 20 minit babak pertama memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan pujian harus diberikan kepada barisan pemain skuad warga kota itu yang dilihat begitu bersemangat menyaingi kehebatan pemain The Red Warriors dalam perlawanan malam tadi.
Penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad memecahkan kebuntuan apabila menjaringkan gol pertama pada m-30 perlawanan. Berpunca umpanan Mohd Badhri dari tengah, Mohd Norfarhan yang berjaya melepasi perangkap ofsaid pertahanan lawan mudah menolak masuk menewaskan Rozaimie untuk gol pertama Kelantan dalam perlawanan malam tadi.
Tujuh minit berselang, Indra Putra sekali lagi terlepas peluang untuk memastikan Kelantan berada lebih selesa berada di depan apabila tandukannya tersasar di sebelah kanan pintu gol Kuala Lumpur setelah menerima umpanan cantik daripada S Chanturu.
Begitu pun, pasukan pelawat kembali mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila berjaya menyamakan kedudukan dua minit kemudian. Pemain gantian, Muhammad Afiq Azmi pantas menanduk masuk hantaran lintang Hishamuddin Othman untuk menewaskan Khairul Fahmi di pintu gol Kelantan.
Namun Indra Putra memadamkan dua kesilapan awalnya apabila menjaringkan gol kedua The Red Warriors dua minit sebelum babak pertama berakhir. Gerakan menarik Mohd Badhri yang berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan di pintu gol pasukan lawan sebelum itu dimanfaatkan menerusi rembatan rendah Indra Putra untuk gol kedua Kelantan.
Empat minit babak kedua bersambung, Kuala Lumpur kembali memberikan tentangan sengit menerusi rembatan Muhd Syafwan daripada sudut sukar namun percubaannya terus ke dakapan Khairul Fahmi.
Kelantan walaubagaimanapun kembali melancarkan serangan dan mempunyai dua peluang terbaik untuk terus mengukuhkan kedudukan namun tandukan Indra Putra pada m-52 tersasar sementara rembatan kencang Chanturu tiga minit kemudian pula dinafikan oleh Rozaimie sekali lagi.
Penyerang import Kuala Lumpur, Zacharia Charara hampir menjaringkan gol penyamaan untuk pasukannya namun sepakan percuma yang dilakukannya pada m-58 perlawanan hanya sedikit melewati pintu gol Kelantan.
Pemain import Kelantan, Onyekachi Nwoha terlepas peluang untuk mencipta nama selaku penjaring gol dalam perlawanan malam tadi apabila percubaannya setelah menerima umpanan cantik daripada Mohd Shakir Shaari terkena tiang gol kiri Kuala Lumpur pada m-64 perlawanan.
Seminit kemudian, Mohd Badhri mengukuhkan kedudukan Kelantan apabila meledak gol ketiga pada m-65 perlawanan. Rembatan padunya dari luar kotak penalti tepat menerjah jaring gagal diselamatkan Rozaimie di gawang golnya.
Minit-minit akhir masa tambahan, Kuala Lumpur berjaya merapatkan jurang apabila menjaringkan gol keduanya. Sepakan percuma yang dilakukan oleh pemain gantian, Fazuan Abdullah terus menerjah jaring untuk gol terakhir dalam perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Obinna Nwaneri,  Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, S Chanturu, Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP) (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad (Mohd Nurul Azwan Roya) dan Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Onyekachi Nwoha).
FORMASI : 4-2-2
KUALA LUMPUR : Rozaimie Rohim, Hishamuddin Othman, Ahmad Jihad Ismail, Muhammad Syafiq Johari, Muhd Syafwan Shahlan (S Sivaraj), Pritam Singh Charun Singh,  Emmanuel Okine, Mohamed Aslam Haja Najumudeen (KP), Ahmad Dashila Tajudin, Stanley Bernard Stephen Samuel (Muhammad Afiq Azmi) dan Zacharia Charara (Fazuan Abdullah).
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (4) Kuala Lumpur (4)
Percubaan tersasar : Kelantan (5) Kuala Lumpur (5)
Sepakan penjuru : Kelantan (6) Kuala Lumpur (5)
Sepakan percuma : Kelantan (15) Kuala Lumpur (21)
Ofsaid : Kelantan (7) Kuala Lumpur (2)
Kekasaran : Kelantan (14) Kuala Lumpur (13)
Kad kuning : Kuala Lumpur (Muhd Syafwan)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Kuala Lumpur (45%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Shukri Abdul Rahman
Penolong Pengadil 1: Mohd Yusri Mohamad
Penolong Pengadil 2: Mohd Azha Khalid
Pegawai Keempat : Ismadi Ibrahim
Kommissioner Perlawanan : Nasaruddin Ishak
General Koordinator : Arif Hassan

Petikan Dari Klate.Net

 

Red Warriors Kutip Satu Mata

KELANTAN 0
NAVIBANK SAIGON 0
KUALA LUMPUR – Kelantan memulakan saingan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia dengan aksi cemerlang meski pun sekadar seri tanpa jaringan ke atas kelab Navibank Saigon FC dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Tuah ternyata tidak memihak The Red Warriors yang dilihat menguasai hampir keseluruhan babak perlawanan apabila deretan peluang dimiliki gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan rentetan beraksi dalam padang yang becak setelah hujan turun begitu lebat sepanjang perlawanan tersebut berlangsung.
Malah aksi barisan pemain The Red Warriors yang menampilkan empat pemain import dalam kejohanan ini boleh disifatkan yang terbaik sejak Bojan Hodak mengambil alih tugas selaku Ketua Jurulatih baru seminggu lalu.
Seawal minit ketiga perlawanan, Navibank Saigon memulakan asakan awal menerusi penyerang importnya, Edison Fonseca Pulgarin namun rembatan leretnya mudah diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Tiga minit kemudian, Kelantan terlepas peluang untuk berada di depan apabila hantaran cantik Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi gagal ditampan kemas Mohammed Ghaddar meski pun mempunyai peluang terbuka untuk melakukan rembatan ke arah pintu gol Navibank Saigon.
Pada m-25 perlawanan, penyerang Kelantan, Onyekachi Nwoha gagal meletakkan bola ke dalam jaring apabila rembatannya daripada sudut sukar setelah menerima umpanan Mohammed Ghaddar hanya tersasar beberapa meter disebelah kiri pintu gol pasukan pelawat.
Dua minit kemudian, giliran Mohammed Ghaddar pula mensia-siakan peluang terhidang apabila beliau bijak memperdayakan seorang pemain pertahanan Navibank Saigon namun rembatannya tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Begitu pun Navibank Saigon kembali mencemaskan pintu gol Kelantan kali ini menerusi tandukan pemain tengahnya, Luong Van Duoc Em namun Khairul Fahmi tampak lebih bersedia menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.
Namun Dennis Antwi kembali menghidupkan suasana hangat pada m-34 perlawanan dengan melakukan rembatan kencang memaksa penjaga gol Navibank Saigon, Phan Van Santos menepis percubaan tersebut.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa mempamerkan corak permainan berhati-hati setelah separuh permukaan padang ditakungi air. Namun The Red Warriors mendominasi keseluruhan dalam babak tersebut apabila sentiasa melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol pasukan lawan.
Kombinasi terbaik rangkaian jentera tengah diketuai Mohd Bahdri seharusnya diberi pujian apabila kerap kali mencipta peluang kepada barisan serangan Kelantan untuk melakukan percubaan merbahaya ke arah pintu gol lawan.
Malah, Van Santos dipaksa bekerja keras di pintu golnya menahan asakan menggila pemain Kelantan bermula dengan rembatan Nwoha pada m-53 perlawanan yang menyaksikan beliau terpaksa menepis keluar percubaan tersebut.
Pada m-66 perlawanan Nwoha sekali lagi terlepas peluang untuk memastikan Kelantan berada di depan apabila rembatannya berpunca hantaran lintang Mohamad Zamri sedikit tersasar di pintu gol Navibank Saigon.
Tempoh 10 minit terakhir ternyata memihak kepada pasukan tuan rumah apabila mempunyai empat peluang terbaik untuk mencipta jaringan. Nwoha, pemain import yang dikritik hebat sebelum ini terus mempamerkan sentuhan berbisanya apabila menanduk cantik umpanan Mohd Badhri pada m-82 perlawanan namun tinggi melepasi pintu gol.
Dua minit berselang, Nwoha sekali lagi terus hampa untuk mencetak nama selaku penjaring gol dalam perlawanan malam tadi apabila percubaannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Van Santos.
Asakan bertali arus Kelantan tidak terhenti di situ apabila Mohammed Ghaddar melepaskan satu-satunya peluang terbaik dimiliki dalam babak kedua apabila rembatannya pada m-86 ditepis keluar Van Santos.
Seminit kemudian, Mohd Badhri turut melakarkan kekecewaan setelah tandukannya berpunca hantaran lintang pemain gantian, S Chanturu hanya sedikit tersasar di pintu gol lawan.
Minit-minit akhir perlawanan menyaksikan kelab dari Vietnam itu hampir mencipta kejutan untuk membawa pulang tiga mata apabila mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kemenangan.
Salah faham yang berlaku di antara Khairul Fahmi dan Mohd Farisham Ismail hampir mengundang padah apabila Fonseca Pulgarin bijak memanfaatkan situasi tersebut namun kuisannya menyaksikan bola tersekat di atas takungan air meski pun pintu gol Kelantan sudah pun ternganga.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Zamri Ramli, Obinna Nwaneri,  Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Dennis Antwi (S Chanturu), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP), Mohd Nurul Azwan Roya (Mohd Norfarhan Muhammad), Onyekachi Nwoha dan Mohammed Ghaddar (Muhammad Ramzul Zahini Adenan).
FORMASI : 4-4-2
NAVIBANK SAIGON : Phan Van Santos, Nguyen Thanh Long Giang, Doan Viet Cuong, Bossou Vincent, Luong Van Duoc Em (Nguyen Duy Khanh), Nguyen Minh Triet, Dang Khanh Lam (Huynh Duc Nghia), Aniekan Okon Ekpe, Phan Van Tai Em, Nguyen Van Nghia (Nguyen Cao Thien) dan Edison Fonseca Pulgarin.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (4) Navibank Saigon (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (6) Navibank Saigon  (4)
Sepakan penjuru : Kelantan (6) Navibank Saigon (3)
Sepakan percuma : Kelantan (14)  Navibank Saigon  (16)
Ofsaid : Kelantan (5) Navibank Saigon (4)
Kekasaran : Kelantan (11) Navibank Saigon (10)
Kad kuning : Navibank Saigon (Bossou Vincent)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Empat minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%) Navibank Saigon (40%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Yu Ming Hsun (Chinese Taipei)
Penolong Pengadil 1: Hsu Min Yu(Chinese Taipei)
Penolong Pengadil 2: Teerajit Sittisook (Thailand)
Pegawai Keempat : Prathan Nasawang (Thailand)
Kommissioner Perlawanan : Robert John Torres Jr (Guam)

Petikan Dari Klate.Net
 

 

Thursday 1 March 2012

Kemelut KAFA Dan Butler Berakhir

KOTA BAHARU, (Bernama) – Kemelut antara Peter James Butler dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya terlerai apabila Kafa akhirnya menamatkan kontrak ketua jurulatih itu berkuatkuasa hari ini.
Timbalan Presiden Kafa Datuk Afandi Hamzah berkata keputusan menamatkan kontrak Butler sebagai ketua jurulatih itu dicapai selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dalam satu pertemuan di Wisma Kafa di sini.
“Kami berbincang secara kekeluargaan dan kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk meleraikan ikatan ini.
“Kontrak Butler bersama Kafa berakhir yang berkuatkuasa hari ini dan Kafa mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangannya terhadap Kelantan dan pasukan selama ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian bersama penamatan kontrak itu di sini.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim.
Butler sebelum ini mencetuskan isu apabila tidak kelihatan melatih pasukan Kelantan sebelum ini berikutan “perang dingin” antara bekas jurulatih itu dengan pengurusan Kafa.
Khabar angin yang mengatakan Kafa akan mengambil jurulatih baru terus bertiup kencang apabila persatuan itu melantik bekas ketua jurulatih UPB My Team, Bojan Hodak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army) yang baru.
Namun apabila ditanya sama ada benar Kafa akan melantik Bojan sebagai ketua jurulatih yang baru, Afandi berkata keputusan itu belum muktamad.
“Bojan dan beberapa nama jurulatih tempatan kini sedang dalam perhatian Kafa dan kita belum buat keputusan dan Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa akan mengumumkannya dalam tempoh tidak lama lagi,” katanya.
Mengulas Bojan yang dilihat melatih pasukan Kelantan sekarang, Afandi berkata Bojan berhak melatih bersama penolong jurulatih yang lain iaitu Zahasmi Ismail dan Sidek Shamsuddin kerana mereka adalah pegawai terlatih Kafa.
Butler ketika ditanya selepas itu bagaimanapun melahirkan rasa terkejut apabila kontraknya ditamatkan namun beliau akur kerana itu adalah hak Kafa untuk berbuat demikian.
“Saya sedikit terkejut tetapi keputusan ini saya terima dengan baik dan kami pun berbincang dengan baik dan saya menerimanya juga dengan baik,” katanya.
Beliau bagaimanapun belum menetapkan hala tujunya selepas ini tetapi akan tetap menjadi seorang jurulatih bola sepak di mana sahaja.
“Saya berharap pasukan Kelantan akan lebih baik selepas ini dan Kelantan adalah sangat dekat di hati saya dan kepada peminat bantulah pasukan ini untuk menjadi yang terbaik,” katanya.
Bersama Kelantan pada 2008-2009, Butler telah melonjakkan nama pasukanitu apabila dapat melangkah ke Liga Super pada 2009.  Bekas pemain tengah West Ham United, Butler telah berjaya membawa Kelantan
ke perlawanan akhir Piala FA namun kalah di tangan Selangor pada tahun yang sama.
Butler kemudiannya dikatakan merajuk dan membawa diri ke tempat lain sehingga kembali semula ke Kelantan pada musim baru ini selepas pengunduran Datuk M. Karathu.
Kelantan kini di tangga teratas liga dengan mengutip 17 mata keseluruhan selepas lapan perlawanan.

Petikan dari Klate.net

Sumak sokmo PJB nii . . .kita senaraikan hitam terus bo lah panggil dia lagi . . .perangai hudohhh . . .Apa pun Ayuh semua worriors kita ada liga yang masih panjang dan AFC serta Piala yang yang bakal kita hadapi

GO FOR MORE!!!!!!!!!!!!!!!!!

 

Hodak Ganti Butler?

KOTA BHARU – Siapa yang bakal menduduki ‘kerusi panas’ Ketua Jurulatih Kelantan mungkin terlalu awal untuk diperkatakan tatkala kemelut dalaman di antara Peter Butler dengan majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri masih belum menemui titik penyelesaiannya sehingga kini.
Namun, sudah ada petunjuk apabila Pengarah Kejurulatihan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) yang baru dilantik, Bojan Hodak besar kemungkinan akan mengambil alih tugas melatih pasukan Liga Super Kelantan dalam masa terdekat ini.
Ini dibuktikan lagi apabila jurulatih kelahiran Croatia itu dilihat memainkan peranan secara ‘tersembunyi’ menyusun percaturan taktikal ketika The Red Warriors menewaskan pasukan Singapore Armed Forces (SAF) FC 2-1 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam semalam.
Menurut sumber dalaman Kafa, Hodak yang baru dilantik memegang jawatan baru tersebut minggu lalu dijangka turun padang buat pertama kali melatih pasukan Liga Super Kelantan secara tidak rasmi dalam masa terdekat.
“Namun Peter Butler masih kekal selaku Ketua Jurulatih Kelantan dan belum ada tindakan pemecatan dilakukan ke atas beliau. Kita masih menunggu sehingga beliau tampil menjawab surat tunjuk sebab berikutan kenyataan keras yang dikeluarkan oleh beliau kepada media pada minggu lalu.
“Perkembangan ini cukup menarik apabila Hodak yang mempunyai kuasa selaku Pengarah Kejurulatihan dan CEO ARMY mungkin menjadi calon berpotensi untuk mengisi jawatan tersebut sekiranya Butler mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan,” katanya.
Jurulatih berusia 41 tahun itu mungkin calon paling sesuai bagi menggantikan Butler memandangkan beliau bukan sahaja kaya dengan pengalaman sebagai pemain bola sepak selama 11 tahun di negaranya, Singapura dan Hong Kong malah sudah berkecimpung di dalam bidang kejurulatihan sejak lapan tahun lalu.
Sementara itu Sinar Harian turut difahamkan, Butler kini dikhabarkan berada di Indonesia dan sedang berunding dengan salah sebuah kelab bola sepak di sana bagi meneruskan kerjayanya setelah menghadapi masalah untuk bekerja di Kelantan.
Ini diperkukuhkan lagi apabila Butler sehingga kini tidak muncul di Kota Bharu, meski pun beberapa kali diberi peluang oleh pihak Kafa untuk tampil membela diri kepada Jawatankuasa Pengurusan di atas ketidakpuasan hati beliau dalam beberapa perkara termasuk isu campur tangan pemain import oleh pihak pengurusan baru-baru ini.
Bagi The Red Warriors, mereka tidak harus menunggu terlalu lama untuk menamakan jurulatih baru memandangkan saingan Liga Super akan bersambung tidak lama lagi dan kedua-dua penolong jurulatih sekarang, Zahasmi Ismail dan Mohd Sideek Samsudin pula hanya mempunyai Lesen Kejurulatihan Bola Sepak Kelas B sahaja.

Petikan dari Klate.Net

Kawe berharap jurulatih baru nii mampu menggalas tugas yang baik dan mampu memberikan kejayaan kepada Kelantan.kita nak kelantan bermain laju dan hantaran yang tepat serta banyak score gol.Apa pun kita nak semua worriors kita bersedia untuk menghadapi cabaran baru...

GO FOR MORE!!!!!!!!!!!!!!!!