Pemain import Kelantan, Onyekachi Nwoha yang beraksi cemerlang perlawanan lepas terus diberi kepercayaan sekali lagi mengemudikan bahagian serangan Kelantan malam ini.
KOTA BHARU – ‘Jangan harap kami beri ihsan.‘ Itu pesanan ringkas pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak kepada pasukan KL SPA FC menjelang pertemuan suku akhir kedua kempen Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Meskipun sudah mempunyai bekalan selesa, namun Hodak tampil memberi kenyataan berbentuk psikologi dan enggan sesekali menunjukkan perasaan belas kasihan kerana apa yang pasti anak buahnya sudah ‘dikerahkan’ menjaringkan seberapa banyak gol di hadapan penyokong sendiri dalam saingan timbal balik ini.
“Kita akan turun beraksi macam biasa seperti mana anda lihat kita menguasai 70 peratus perlawanan dalam suku akhir pertama tempoh hari.
“Lebih penting kita perlu menjaringkan gol awal dan bukan menunggu sehingga minit ke-45 perlawanan. “Saya tahu KL SPA FC akan bermain habis-habisan. “Mereka sebuah pasukan yang bagus dan berpotensi untuk bermain dalam Liga Premier, tetapi harus ingat malam ini mereka bukan sahaja perlu berhadapan dengan 11 pemain Kelantan tetapi juga sokongan ribuan penyokong kita di sini,” katanya.
Ketika ramai pemerhati bola sepak menganggap The Red Warriors sudah sebelah kaki mengetuk pintu separuh akhir, namun pada masa sama Hodak turut tidak terlepas melontarkan amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak memandang mudah pertemuan ini. “Ia berkisar bagaimana saya perlu menyuntik motivasi kepada pemain saya.
“Mereka pasukan liga divisyen ketiga (Liga FAM) dan kita sudah menang 3-0 tetapi dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku. “Saya sendiri tidak boleh meramalkan apa yang berlaku pada perlawanan ini,” katanya.
Atas faktor keletihan, jurulatih kelahiran Croatia itu juga turut mengesahkan akan melakukan rombakan kecil terhadap pasukan dengan merehatkan beberapa tonggak utama pada perlawanan malam ini. “Kita baru balik ke Kota Bharu dua hari lalu, dan hari ini (semalam) pemain hanya menjalani latihan ringan sahaja.
“Sepanjang minggu lalu, kita kena bermain di tempat lawan dan saya tahu semua pemain mengalami kepenatan. “Saya akan menilai prestasi pemain dalam sesi latihan petang ini (semalam).
“Apa yang pasti dua atau tiga pemain akan direhatkan, sementara S Subramaniam yang disahkan pulih daripada kecederaan akan kembali memperkuatkan benteng pertahanan Kelantan,” katanya.
Ketiadaan beberapa pemain utama memberi peluang kepada Hodak untuk terus menggandingkan pemain import Onyekachi Nwoha yang beraksi cemerlang dalam saingan suku akhir pertama tempoh hari dengan bekas pemain T-Team musim lalu, Mohd Norfarhan Muhammad di jentera serangan Kelantan pada pertemuan ini.
Petikan dari Klate.Net
No comments:
Post a Comment