Monday, 16 February 2015

THE RED WORRIORS TERUS GARANG








KOTA BHARU – Kelantan meneruskan rentak cemerlang de­ngan melakar kemenangan kedua berturut-turut apabila menumbangkan jaguh Singapura, Lions XII 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Beraksi di depan 25,000 penyokong setia mereka, The Red Warriors mempamer sengat menerusi jaringan pertama seawal minit keenam menerusi tandukan kencang pertahanan import, Jonathan McKain.

The Red Warriors terus bernafsu untuk memburu jaringan menerusi gandingan dua peledak import, Erwin Carrillo dan Emmanual Kengome namun gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan.

Sebaliknya, Lions XII cuba bangkit menerusi beberapa gerakan bahaya, tetapi benteng pertahanan tuan rumah yang dikawal rapi oleh McKain bersama gan­dinganya Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Fitri dan Mohd. Noorhazrul Mustafa bijak membaca serangan pelawat.

Tuan rumah kembali mengatur gerakan dan hasilnya kapten pasukan Mohd. Badhri Radzi meledak jaringan kedua Kelantan selepas tenang menyempurnakan sepakan percuma di luar kotak penalti pelawat sekali gus melepasi jangkauan penjaga gol Lions XII Izwan Mahbud pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, tuan rumah kehilangan khidmat Mohd. Badhri yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-52 akibat kecederaan dan digantikan oleh Wan Zack Haikal Wan Noor.

Minit ke-70, Kelantan berpeluang menambah jaringan mereka menerusi Wan Zack Haikal, bagaimanapun sepakan percumanya dari luar kotak penalti terus ke dakapan Izuan.

Lions XII cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan semangat, bagaimanapun hampa dengan ketumpulan penyudah Mohd. Khairul Amri Mohd. Kamal yang bertindak sebagai penggempur utama.

Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus membolehkan The Red Warriors terus mencabar kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.

www.utusan.com.my


Di harap Kelantan akan terus berusaha untuk kekalkan rekod bersih di Kubu kita.SSMIV.
Perlawanan seterusnya adalah melawan PDRM.Satu perlawanan yang di jangka menarik untuk di lihat.Apa Pun GO FOR MORE!!!





No comments:

Post a Comment