KOTA BHARU – Persembahan hambar pemain import baru The Red Warriors, Onyekachi Nwoha mengundang dua kelab penyokong tegar di negeri ini menghantar mesej ringkas kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), semalam.
Betapa aksi pemain kelahiran Nigeria yang diharap lebih berbisa daripada Mohammed Ghaddar bertukar sebaliknya apabila mempamerkan aksi ‘memenatkan’ sehingga mencetuskan kemarahan penyokong setia The Red Warriors dalam perlawanan pusingan pertama kempen Piala FA menentang Sarawak dua hari lalu.
Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohd Zainy Mohd Zain berkata, pihak pengurusan Kafa harus mengambil pendekatan berhati-hati dalam memilih pemain dan tidak bergantung kepada rakaman video mahupun janji manis ejen pemain import.
“Dia tidak menepati ciri-ciri selaku seorang pemain import yang berkaliber. Kehadiran dia tidak ubah pelengkap kepada pasukan sehingga mengundang kemarahan peminat bola sepak Kelantan sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Jangan salahkan peminat yang terus mengkritik kalau inilah persembahan yang ditunjukkan oleh dia. Pengorbanan penyokong setia yang sanggup membayar harga tiket yang mahal tidak harus dibalas dengan cara seperti ini.
“Saya berani cakap kehadiran pemain import seperti ini boleh memusnahkan pasukan dan meruntuhkan moral pemain tempatan yang lain. Kalau inilah pemain import yang kita harapkan, saya percaya pasukan kita tidak akan ke mana dalam musim ini,” katanya.
Menurut Mohd Zainy, para peminat sekarang ternyata merindui sentuhan pemain import Mohammed Ghaddar dari Lubnan dan Denny Anwti (Ghana) yang dilihat jauh lebih bagus daripada Nwoha.
Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net), Mahizi Mahmood turut senada sambil menjelaskan kehadiran Nwoha langsung tidak memberi impak kepada pasukan Kelantan setelah diberi peluang beraksi dalam dua perlawanan setakat ini.
“Dia bukan pemain import yang kita mahukan. Malah aksi pemain tempatan jauh lebih bagus daripada dia. Lebih baik kita bergantung 100 peratus dengan kudrat pemain tempatan daripada menggajikan pemain import seperti ini.
“Kita sebenarnya dilihat tertekan mencari pemain import yang bagus sedangkan kita adalah pasukan pertama yang dibentuk sebaik sahaja Liga Malaysia berakhir bulan Oktober tahun lalu. Sehari dua ini peminat bukan bercakap tentang prestasi pasukan tetapi mereka mempersoalkan tentang prestasi pemain import baru ini,” katanya.
Untuk rekod, Nwoha merupakan pemain import kesebelas yang diuji oleh pihak Kafa selepas Jocip Bonasin (Croatia), Emmanuel Ayaah Okine dan Denny Antwi (Ghana), Jean Black (Belanda), Chikondi Mpulula (Malawi), Obinna Nwaneri dan Samad Awudu Okocha (Nigeria), Miguel De Pina (Portugal) selain Mohammed Ghaddar dan Zacharia Charara dari Lubnan.
Petikan Dari Klate.Net
No comments:
Post a Comment