Thursday, 16 February 2012

Rekod Tanpa Kalah Kelantan Lebur

SELANGOR 2
Shafiq Rahim (m-46)
Bosko Balaban (m-75)
KELANTAN 1
S Subramaniam (m-90+1)
KUALA LUMPUR – Rekod tanpa kalah The Red Warriors dalam tujuh perlawanan akhirnya lebur setelah tewas 1-2 kepada Selangor dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Kekalahan tipis kepada musuh tradisinya itu wajar menjadi pengajaran berguna kepada Kelantan yang masih bergelut untuk memiliki pemain import berkualiti setelah khidmat penyerang Lubnan, Mohammed Ghaddar tiba-tiba digantikan dengan pemain baru dari Nigeria, Onyekachi Nwoha dalam perlawanan ini.
Seawal minit kedua perlawanan, Selangor hampir berada di depan menerusi sepakan percuma Shafiq Rahim yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat namun S Subramaniam pantas mengeluarkan bola daripada situasi merbahaya itu.
Tiga minit kemudian giliran Kelantan kembali membalas serangan menerusi umpanan cantik Ketua Pasukan, Mohd Badhri kepada Norshahrul Idlan Talaha namun pemain pertahanan tuan rumah, Mohd Nasriq Baharom lebih awal menolak keluar bola tersebut.
Dua peluang terbaik Red Giants hadir pada m-11 perlawanan menerusi hantaran mengelirukan Mohd Fitri Shazwan Raduwan namun dikeluarkan Subramaniam manakala rembatan Balaban lapan minit kemudian pula tersasar daripada pintu gol Kelantan.
Pada m-25 perlawanan, Indra Putra Mahayuddin terlepas peluang untuk meletakkan The Red Warriors di depan apabila tandukan cantiknya diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali setelah menerima umpanan daripada Mohd Nurul Azwan Roya.
Seminit kemudian, Bosko Balaban, pemain import kelahiran Croatia yang membuat penampilan pertama bersama pasukan Selangor mencetuskan situasi cemas di depan pintu gol Kelantan apabila menanduk cantik sepakan percuma Shafiq namun Mohd Fitri Shazwan pula gagal menyambar umpanan tersebut.
Malah Balaban terus menghadirkan sentuhan berbisanya apabila mempunyai dua peluang terbaik untuk memimpin pasukannya di depan menerusi rembatan kencang pada m-30 dan 38 perlawanan namun ditepis keluar Khairul Fahmi di gawang gol Kelantan.
Ketika Selangor kian rancak melancarkan serangan, Norshahrul Idlan kembali menyalakan semangat juang pasukan Kelantan menerusi rembatan kencang dua minit sebelum babak pertama berakhir namun hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Usaha pasukan tuan rumah untuk mendapatkan gol pertama bagaimanapun berhasil sebaik sahaja seminit babak kedua bersambung. Tindakan kurang cermat Subramaniam mengeluarkan bola akhirnya dihukum menerusi rembatan kencang Shafiq Rahim ke penjuru sebelah kanan menewaskan Khairul Fahmi di pintu gol Kelantan.
Ternyata jaringan tersebut memberikan tekanan kepada barisan pemain Kelantan malah aksi benteng pertahanan yang beraksi longlai dilihat seakan tidak berdaya mengekang asakan bertali arus pasukan tuan rumah.
Begitupun, Mohd Badhri kembali mengendurkan tekanan tersebut apabila hampir menyamakan kedudukan untuk Kelantan pada m-60 perlawanan menerusi sepakan percumanya namun sedikit tersasar di atas pintu gol Selangor.
Malah lima minit kemudian, Mohd Badhri sekali lagi terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan gunting Indra Putra yang ditanduk beliau terus ke dakapan Norazlan.
Kemasukan pemain import baru, Nwoha pada pertengahan babak kedua ternyata tidak banyak membantu gerakan serangan Kelantan malah situasi tersebut turut mengundang Norshahrul Idlan dan Indra Putra sendiri turun ke bawah untuk mendapatkan bola.
Balaban terus menambah derita anak buah Peter Butler apabila menjaringkan gol kedua untuk pasukannya pada m-75 perlawanan. Gerakan menarik Shafiq yang menguis bola melepasi benteng pertahanan dimanfaatkan ssepenuhnya oleh Balaban menerusi rembatan rendah ke penjuru sebelah kanan untuk gol kedua Selangor malam tadi.
Usaha berterusan Kelantan untuk merapatkan kedudukan walaubagaimanapun berhasil apabila Subramaniam berjaya menjaringkan gol saguhati berpunca situasi kelam-kabut di depan pintu gol tuan rumah dalam masa tambahan.
Kesebelasan utama pemain :
SELANGOR : Norazlan Razali, Mohd Bunyamin Umar,Mohd Asraruddin Putra Omar, Ramez Dayoub, Mohd Nasriq Baharom (P Gunalan), Mohd Amirulhadi Zainal (Solihin Kanasian Abdullah), Shafiq Rahim, Azidan Sarudin, Mohd Fitri Shazwan Raduwan, Bosko Balaban (Wan Mohd Hoesne Wan Hussain) dan Mohd Amri Yahyah (KP).
FORMASI : 4-4-2
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Zamri Ramli (Mohd Farisham Ismail), Obinna Nwaneri, S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail, S Chanturu, Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP), Mohd Nurul Azwan Roya (Onyekachi Nwoha), Indra Putra Mahayuddin dan Norshahrul Idlan Talaha.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Selangor (7) Kelantan (5)
Percubaan tersasar : Selangor (1) Kelantan (5)
Sepakan penjuru : Selangor (3) Kelantan (4)
Sepakan percuma : Selangor (26) Kelantan (17)
Ofsaid : Selangor (11) Kelantan (4)
Kekasaran : Selangor (15) Kelantan (13)
Kad kuning : Selangor (Mohd Amri Yahyah) Kelantan (Mohamad Zamri Ramli)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Lima minit
Penguasaan bola : Selangor (55%) Kelantan (45%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Muhd Nazmi Nasarudin
Penolong Pengadil 1: Mohd Hanif Abdul Rahman
Penolong Pengadil 2: Mohd Yusri Mohamad
Pegawai Keempat : Nagor Amir Noor Mohamad
Kommissioner Perlawanan : Mohd Jamil Zakaria
Penilai Pengadil : Othman Omar
General Koordinator : Suhairi Rahmad

Petikan Dari Klate.Net
 Apakah masalah dalaman yang sedang berlaku dalam pasukan? addakah perlawanan malam ini tektikalnya di buat supaya kita tewas oleh Butler? adalah coacah ini akan meninggalkan pasukan sekali lagi? ada ura-ura dato M.Karathu akan kembali?

 

No comments:

Post a Comment