Saturday, 11 May 2013

KELANTAN ATASI AYEYAWADY, MENANG KUMPULAN

Perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke IV .30 April 2013



KELANTAN menghabiskankan saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai pemenang Kumpulan G apabila membenam Ayeyawady United 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru.

Meskipun beraksi tanpa penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme, The Red Warriors (TRW) mampu mempamerkan belang bagi memastikan keunggulan dalam saingan Piala AFC musim ini.

Kedua-dua pasukan bermula dengan gerakan perlahan namun pada minit ke-20, penyerang import muda Kelantan dari Australia, Dimitri Petratos mengejutkan kubu lawan dengan melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti yang sedikit tersasar ke kanan gawang.

Empat minit berselang, tuan rumah mula menunjukkan taring menerusi hantaran Mohd Khairul Izuan Rosli yang ditanduk pemain pertahanan import dari Croatia, Lek Kcira namun percubaan itu dapat dibaca penjaga gol lawan, Ung Mint Khant.

Pasukan tuan rumah yang dikendalikan Bojan Hodak itu berpeluang menjaringkan gol pertama pada minit ke-35 menerusi hantaran Petratos, akan tetapi tandukan Mohd Haris Safuan Mohd Kamal terkena palang gol sebelum bola dikeluarkan pemain pertahanan lawan.

Tersentak dengan percubaan bahaya tuan rumah, pelawat mula mengatur gerakan pada minit ke-38 menerusi hantaran lintang Dominik Bersnjak ke dalam kotak penalti namun gagal ditampan masuk Kyaw Zayar Min.

Minit ke-42, tuan rumah memecah kebuntuan menerusi pemain pertahanan, Obinna Nwaneri yang menanduk masuk sepakan percuma yang diambil Petratos, selepas Kcira dikasari pemain pertahanan lawan.

Bersambung babak kedua, Kelantan lebih garang mengasak kubu lawan malah pada minit ke-51, pemain sayap, Mohd  Norfarhan Muhammad berjaya melepaskan rembatan yang terus ke dakapan penjaga gol.

Pada minit ke-58, Petratos sekali lagi mempamerkan kemampuannya dengan melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti sehingga memaksa Mint Khant melayangkan badan untuk menyelamatkan percubaan itu.

Pemain pertahan Kelantan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim kemudian menceriakan penyokong setia TRW apabila menghadiahkan gol kedua pada minit ke-69 menerusi tendangan lencong dari penjuru kiri kotak penalti lawan, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan Liga Super itu.

Bagaimanapun, Ayeyawady United berjaya merapatkan kedudukan pada minit sebelas minit selepas itu menerusi  Nay Lin Tun yang menanduk masuk sepakan penjuru yang diambil Bersnjak.

Bagai tidak tergugat jaringan lawan, kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi melakukan ‘gol ajaib’ pada minit ke-83, apabila sepakan penjuru yang diambilnya terus masuk ke gawang melepasi jangkauan penjaga gol.

Tiga minit masa tambahan nyata tidak cukup untuk Ayeyawady United mengatasi Kelantan, yang sudah mengesahkan kelayakan ke pusingan kedua dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.


Petikan dari Klate.Net


Alhamdulilah kita Berjaya menjadi Juara kumpulan G.Akan mara ke Pusingan kedua dan akan bermain di Stadium Sultan Muhammad ke IV.Apa yang menarik pada perlawanan ini adalah jaringan dari Obinna hasil sepakan percuma Petratos pemain pertahanan yang menjaringkan gol.Di tambah menarik  lagi Nik Shahrul Azim juga menjaringkan gol menerusi sepakkan kencang dan anatara gol tercantik dalam AFC.
  Kapten Marbles kita menjadikan SSMIV lebih keramat dengan jaringan dari sepakkan penjuru di mana jarang pemain dapat melakukannya.Piya membuktikan dia berada dalam puncak prestasinya dengan jaringan yang semestinya dunia akan melihatnya.Bukan sahaja di Malaysia tetapi akan menjadi bualan di dunia.Great job Captain….GOMO KLATE GOMO!!!!!!!!!!!!

GO FOR MORE!!!!!!!!!!!!!! 

No comments:

Post a Comment