KOTA
BHARU – Cabaran Kelantan dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia
(AFC) 2012 berakhir apabila tewas menerusi agregat 6-2 kepada Arbil FC dalam
saingan suku akhir kedua yang berlangsung malam tadi.
Dalam
perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, hasrat Kelantan
untuk memburu sekurang-kurangnya empat gol gagal terlaksana setelah sekadar
terikat seri 1-1 dengan juara Liga Premier Iraq itu.
Meskipun
tersingkir, namun pujian harus diberikan kepada anak buah Bojan Hodak yang
mempamerkan aksi cemerlang apabila dilihat berjaya menyaingi kehebatan pasukan
dari Asia Barat itu dalam perlawanan yang disaksikan hampir 7,000 penyokong
tempatan.
Terima
kasih kepada penyerang import sensasi, Mohamad Ghaddar yang muncul selaku
penyelamat apabila sepakan penaltinya pada penghujung masa kecederaan
memastikan setidak-tidaknya The Red Warriors terus mengekalkan rekod tanpa
kalah beraksi gelanggang keramat itu sepanjang musim ini.
Pasukan
pelawat yang turun tanpa tekanan memulakan asakan awal ketika permainan baru
memasuki minit pertama menerusi percubaan jarak jauh Amjed Radhi namun terkena
palang gol Kelantan.
Kelantan
yang turun dengan misi hidup mati bagaimana pun kembali melancarkan serangan
menerusi rembatan Indra Putra Mahayuddin pada jarak 25 meter namun melewati
pintu gol Arbil FC pada minit kesembilan perlawanan.
Selang
tiga minit kemudian, giliran bek kental, Obinna Nwaneri pula menguji kecekapan
penjaga gawang Arbil FC, Jalal Hassan Hachim namun tandukan beliau berpunca
sepakan percuma Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi sedikit melewati pintu gol.
Pasukan
pelawat yang menewaskan Kelantan 5-1 dalam saingan suku akhir pertama minggu
lalu nyaris memperolehi gol pendahuluan mereka namun rembatan Saad Abdulameer
Luaibi pula menerjah jaring sisi pintu gol Kelantan pada minit ke-18
perlawanan.
Satu-satunya
peluang terbaik Kelantan hadir pada minit ke-23 perlawanan menerusi Muhammad
Afiq Azmi. Namun penyerang pinjaman dari Kuala Lumpur itu gagal menolak masuk
hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha apabila berjaya berjaya disepak keluar
Ahmed Ibrahim di depan pintu golnya.
Empat
minit berselang, skuad bimbingan Bojan Hodak sekali lagi menggigit jari apabila
rembatan padu pemain sayap, Mohd Norfarhan Muhammad hasil umpanan Muhammad Afiq
singgah di bucu palang gol Arbil FC.
Pasukan
Arbil FC yang tenggelam dengan asakan bertali-arus pemain tuan rumah
bagaimanapun turut berpeluang untuk mendahului, namun rembatan jarak jauh Ketua
Pasukannya, Halkard Mulla Mohammad Taher terus ke dakapan Khairul Fahmi pada
minit ke-34 perlawanan.
Kerja
keras anak didik Nizar Mahrous akhirnya membuahkan hasil juga tiga minit
kemudian. Berpunca serangan balas pantas, penyerang import mereka, Sula Matuvo
melepasi kekangan Mafry Balang di dalam kotak penalti sebelum merembat kencang
ke penjuru kanan gawang Kelantan untuk gol pembukaan perlawanan malam tadi.
Ketinggalan
0-1, menyaksikan Kelantan terus dihimpit tekanan dan usaha mereka untuk
menyamakan kedudukan terus buntu apabila sepakan lencong Mafry hanya sedikit
tersasar daripada pintu gol pasukan pelawat tiga minit sebelum babak pertama
berakhir.
Tiga
minit babak kedua bersambung, Kelantan dikejutkan dengan asakan pasukan pelawat
menerusi Sula Matuvo yang berjaya melepasi benteng pertahanan, namun rembatan
Amjed Radhi dikeluarkan oleh S Subramaniam.
Namun
selepas itu pasukan tuan rumah kembali mendominasi perlawanan. Dua peluang
terbaik hadir pada minit ke-50 dan minit ke-53 perlawanan menerusi tandukan
Nwaneri dan Indra Putra namun tersasar serta diselamatkan Jalal Hassan di
gawangnya.
Percaturan
Hodak menggantikan Muhammad Afiq dengan Mohamad Ghaddar pada minit ke-61
perlawanan ternyata mengubah corak permainan Kelantan. Malah kelincahan
penyerang kebangsaan Lubnan itu berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan
lawan.
Hasilnya,
Kelantan berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-64 perlawanan
apabila umpanan lambung S Subramaniam tepat kepada Indra Putra, namun bekas
pemain kebangsaan itu memilih merembat tinggi di depan pintu gol Arbil FC.
Keghairahan
Kelantan memburu gol penyamaan bagaimanapun hampir dihukum pasukan pelawat
menerusi serangan pantas oleh Halkard Mulla mujur tampanan pemain gantian,
Mustafa Kareem berjaya ditepis keluar Khairul Fahmi pada minit ke-76
perlawanan.
Tiga
minit kemudian, Norshahrul Idlan mencetus gerakan menarik satu dua bersama
Mohamad Ghaddar namun rembatan deras pemain import itu gagal menewaskan penjaga
gol Arbil FC.
Tempoh
10 minit terakhir ternyata milik mutlak Kelantan. Tiga percubaan terbaik
masing-masing menerusi Mohamad Ghaddar dan Mafry pada minit ke-81,83 dan 84
perlawanan bagaimanapun dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Arbil FC itu.
Namun
tindakan pemain pertahanan Arbil FC, Ahmed Ibrahim menjatuhkan Mohamad Ghaddar
mengundang padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan
dalam masa kecederaan.
Mohamad
Ghaddar tenang merembat masuk ke penjuru kanan bagi mengikat keputusan seri
namun gol tersebut sudah terlalu lewat untuk membawa Kelantan ke saingan
separuh akhir setelah tersingkir menerusi agregat 6-2 dalam kempen Piala AFC
ini.
Petikan Dari Klate.Net
Berakhir lah misi kita dalam AFC.Ada beberapa suara yang tidak berpuas hati dengan lane up kita pada malam ini.Mungkin mereka tidak tahu atau tidak mendapat maklumat bahawasanya Ghaddar baru lepas pulih dari kecederaan dan hanya di benarkan bermain sekitar 20 minit.Sebab itulah dia hanya di masukkan pada babak kedua.Kita tutup dulu AFC ini dan memberi tumpuan penuh pada saingan Piala Malaysia di mana kita akan bertemu dengan Felda United di Stadium Hang Jebat Melaka pada 29 september ini nanti.
Untuk bersaing dalam AFC tahun depan kita memerlukan pemainan tektikal yang mantap dan lebih pada speed games.kita terlalu perlahan sebenarnya jika nak di bandingkan dengan Kelab-kelab gergasi AFC yang lain.Striker kita memrlukan yang kaki gol dan sentiasa ada di tempat sepatutnya.Kelantan masih boleh membaiki beberapa perkara lain sebelum ke AFC 2013.Apa pun kita berharap Kelantan akan mara lebih jauh lagi dalam AFC nanti.
No comments:
Post a Comment