Wednesday, 12 December 2012

NWANERI, PERTRATOS BERAKSI LIGA MALAYSIA ?



KAFA sah daftar 27 pemain, Hodak bakal tentukan siapa tersenarai

KOTA BHARU – Obinna Nwaneri dan bintang import baharu dari Australia, Dimitrios Pertratos disebut-sebut bakal menyarung jersi The Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Difahamkan, kedua-dua awang import itu didaftarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari terakhir pendaftaran pemain yang berakhir Khamis lalu.

Sumber Kafa memberitahu, Nwaneri, bekas pemain kebangsaan Nigeria itu dikekalkan berdasarkan prestasi cemerlangnya membantu Kelantan merangkul kejuaraan treble musim lalu manakala Pertratos dilihat calon sesuai menggantikan Mohamad Ghaddar berbanding Keita Mandjou.

“Saingan Liga Super musim depan pasti menjanjikan aksi yang sengit. Mahu tidak mahu kita perlu memperkasakan pasukan ketika persatuan bola sepak negeri lain juga berbuat perkara yang sama.

“Mengenai Pertratos, dia menjadi calon sesuai mengetuai jentera serangan Kelantan setelah ketiadaan Mohamad Ghaddar. Dia masih muda, bertenaga dan berkemahiran tinggi. Pemain yang mempunyai pakej seperti itulah diperlukan untuk pasukan kita,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan pihaknya mendaftarkan seramai 25 pemain termasuk dua pemain import serta dua lagi pemain tambahan dengan badan induk bola sepak kebangsaan itu pada 6 Disember lalu.

“Tinggal lagi kita belum putuskan nombor-nombor jersi untuk semua pemain Kelantan. Ini kerana pihak FAM memberi sedikit kelonggaran kepada pasukan yang beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Sekarang kita daftar 25 pemain termasuk dua pemain import untuk beraksi dalam Liga Malaysia dan dua pemain tambahan. Ini bermakna 27 pemain didaftarkan bersama Kelantan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perarakan Tiga Piala yang dimenangi The Red Warriors di Rantau Panjang, semalam.

Menurut Annuar, Ketua Jurulatih, Bojan Hodak akan diberi kuasa penuh untuk menilai pemain sedia ada selain empat awang import sebelum membuat keputusan siapa yang bakal beraksi dalam kancah Liga Malaysia atau kempen Piala AFC.

Mengulas mengenai cabaran menanti dalam kempen Piala AFC nanti, Annuar menyambut baik keputusan undian tersebut setelah Kelantan diletakkan di dalam kumpulan G bersama Ayeyawady United dari Myanmar, SHB Da Nang (Vietnam) dan Maziya Sport dan Recreation dari Maldives.

“Harap tahun ini setidak-tidaknya kita boleh mengulangi pencapaian musim lalu (mara ke suku akhir). Tapi melihat barisan pemain yang kita bentuk sekarang, kalau boleh kita mahu mara lebih jauh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Annuar menjelaskan pihaknya masih dalam perbincangan bagi meletakkan sasaran pada Liga Malaysia musim depan dan perkara tersebut akan diumumkan tidak lama lagi.

Petikan dari Klate.Net

Jika benar maka memang tepat keputusan Head Coach kita Bojan Hoddak.Kalau nak di nilai Petratos dengan Keita Manjou memang ada perbezaan.Tapi jika benar Petratos kawe yakin semua Penyokong TRW pasti bersetuju.Dengan adanya Nantha,Zairol,Faiz Subri,Haris safwan dan kembalinya Aziz dan Azizi pasti kita makin kuat 2013.Selamat maju jaya dan terus gemilang TRW.

GO FOR MORE!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


No comments:

Post a Comment