SHAH
ALAM – Kelantan mengesahkan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012
dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala Malaysia buat kali
kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) 3-2 dalam babak akhir, semalam.
Indra
Putra Mahayuddin layak dijulang selaku wira The Red Warriors apabila
jaringannya pada masa tambahan pada minit ke-96 hasil serangan pantas,
menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 sekali gus
menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam sejarah bola sepak
Kelantan.
Jaringan
kemenangan daripada Indra itu seolah-olah mengesahkan kata-kata pengendali
Kelantan, Bojan Hodak pada sidang media pengurus pasukan kelmarin, yang
mengatakan ATM tidak dapat bertahan sehingga penghujung perlawanan kerana
terdiri daripada ramai pemain berumur.
Berpunca
daripada gerakan pantas Shakir Shaari dan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya
yang tidak dapat dibendung pemain ATM, Indra pantas mencari ruang kosong
sebelum melepaskan rembatan menarik ke arah sebelah kanan pintu gol.
Sebelum
itu, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang diangkat sebagai pemain terbaik
perlawanan akhir dua kali meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-44 dan
50, namun dapat disamakan sebanyak dua kali oleh ATM melalui Rezal Zambery
Yahya pada minit ke-49 dan Marlon Alex James pada minit ke-62.
Kekalahan
ATM bermakna tiada lagi magis Hairuddin Omar dalam penampilan final kelima
Piala Malaysia apabila buat pertama kali pemain berusia 33 tahun itu gagal
membawa pulang trofi keagungan bola sepak negara bersama pasukan yang
diwakilinya selepas melakukannya empat kali sebelum ini bersama Terengganu,
Negeri Sembilan dan Kelantan.
Dalam
aksi akhir yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra serta
kira-kira 80,000 penonton itu, kedua-dua pasukan berjaya menampilkan permainan
menghiburkan tetapi diselangi kekecohan di babak terakhir perlawanan ekoran
keputusan pengadil yang mengundang kontroversi.
Malah,
hampir terjadi pergaduhan ketika perlawanan tinggal lima minit untuk ditamatkan
selepas pemain ATM bertindak meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir
yang cedera diberikan rawatan namun pengadil, Nafeez Abd. Wahab pantas
membendung insiden lebih buruk daripada terjadi.
Barisan
tengah ATM dilihat cukup pincang pada babak pertama biarpun dibarisi pemain
berpengalaman seperti Rezal Zambery Yahya dan Bruno Martelotto apabila gagal
merencanakan sebarang gerakan menarik.
Christie
Jayaseelan dilihat sedikit gugup pada penampilan pertama di final selain Marlon
Alex James dapat dirantai kemas oleh Obinna Nwaneri.
Situasi
itu bijak dieksploitasi oleh Kelantan sepenuhnya yang mempamerkan rentak penuh
bertenaga dengan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat dengan salah satunya
menembusi gawang ATM pada minit ke-44.
Kesilapan
Farizal Harun yang tidak menangkap kemas rembatan Mat Yo yang menerima umpanan
Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya membuka tirai jaringan Kelantan, ketika perlawanan
separuh masa pertama hanya menunggu masa untuk ditamatkan.
Pengendali
ATM, B. Sathianathan bagaimanapun ternyata mempunyai percaturannya tersendiri
pada separuh masa kedua dan pasukannya hanya menunggu masa selama empat minit
sebaik permainan bermula untuk menyamakan kedudukan melalui Rezal Zambery hasil
sepakan leret dari jarak 25 meter.
Kegembiraan
ATM bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila Norshahrul sekali lagi
membuktikan bisanya belum hilang menerusi serangan balas pantas dan memperdaya
K. Reuben sebelum melepaskan sepakan yang tidak diselamatkan Farizal.
Namun,
semangat juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan
dua pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih
peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil
mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.
Selepas
Venice dijatuhkan berhampiran kotak penalti di sebelah kiri pintu gol Kelantan,
Marlon melonjak tinggi menanduk masuk ke dalam gawang bagi gol penyamaan ATM
pada minit ke-62.
Kelantan
bagaikan berada dalam lamunan kira-kira 15 minit perlawanan selepas ATM dapat
menyamakan kedudukan tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan sehingga
memaksa perlawanan diheret masa tambahan.
No comments:
Post a Comment