Tuesday, 9 October 2012

Kelantan Nafi Lepas 3 Pemain

Norshahrul Idlan Talaha


KAFA hantar surat bantahan kepada FAM, tiga tonggak masih ada kontrak bersama TRW



KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan ketiga-tiga tonggak utama mereka bakal mengubah haluan dengan menyarung jersi Johor pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Sambil menyifatkan berita mengenai penghijrahan pemain tersebut tidak berasas, Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim menegaskan kesemua mereka masih mempunyai kontrak beraksi dengan The Red Warriors setakat ini.

“Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) mempunyai ikatan dengan Kelantan sehingga tahun depan manakala kontrak Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Nurul Azwan Roya pula hanya akan berakhir November nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita sudah menghantar surat (penawaran kontrak) kepada semua pemain pada Julai lalu. Jadi kita masih dalam proses berunding dengan mereka sama ada berminat atau tidak untuk terus kekal bersama Kelantan. Tiada perbincangan mengenai perpindahan, jadi mereka kekal bersama kita setakat ini.

“Jadi tidak adil kenyataan sedemikian dikeluarkan sedangkan Liga Malaysia 2012 sendiri masih belum berakhir. Ini sebenarnya melanggar kod etika yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan ketiga-tiga pemain berkenaan disunting bekas juara Piala Malaysia 1991 itu untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana musim depan.

Malah dalam laporan itu juga menyatakan, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bersedia berbincang dengan Kafa bagi membolehkan Norshahrul Idlan, penyerang yang merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) 100Plus-FAM pada 2010 dan 2011 mendapat pelepasan untuk menyarung jersi Johor.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, pihak Kafa akan menghantar surat kepada badan induk bola sepak kebangsaan dalam masa terdekat sebagai membantah kenyataan yang disifatkan melanggar peraturan itu.

“Saya tidak berminat untuk berbalas kenyataan di media. Tetapi sebagai seorang bekas pemain profesional, Fandi (Ahmad) (Pengurus Pasukan Johor) tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Ia boleh mengganggu tumpuan pemain kita yang sedang beraksi dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia ketika ini.

“Apa jua keadaan mereka kena ikutlah saluran yang betul dan merujuk kepada Kafa.

“Saya harap pasukan lain pun bersabar sebelum mereka mengumumkan nama pemain baru masing-masing sehinggalah musim Liga Malaysia berakhir 20 Oktober ini,” katanya.

Petikan dari Klate.Net

Kalau sesuatu pasukan mengeluarkan kenyataan dan melanggar peraturan kita kena tegas dan mengajar mereka bagaimana nak menghormati pasukan lain yang masih dalam perjuangan memburu piala.Tindakkan mereka ini seperti mahu mencetuskan kontroversi kepada kita.Kawe berharap FAM segera bertindak tanpa mengira pasukan itu di terajui oleh Istana atau menteri.

 

No comments:

Post a Comment