Wednesday, 25 July 2012

KAFA TERKEJUT TUDUHAN BARU FAM



Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) semalam dikejutkan dengan kehadiran surat daripada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk pemain importnya, Mohammed Ghaddar (kanan) yang didakwa mengasari pemain Selangor, Bunyamin Umar ketika perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 29 Jun lalu.

Ghaddar perlu menjawab surat pertuduhan itu sebelum 1 Ogos ini kerana Jawatankuasa Tatatertib FAM dijangka bersidang pada 2 atau 3 Ogos ini.

“KAFA menerima surat pertuduhan itu hari ini (semalam) dan perlu menjawab sebelum 1 Ogos ini, namun persoalannya kita mahu tahu pertuduhan itu dibuat berdasarkan laporan siapa.

“Adakah Bunyamin atau Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang membuat aduan? Jika tiada laporan, FAM tidak boleh membuat pertuduhan,” kata satu sumber dalaman KAFA kepada BH Sukan, semalam.

Beliau yang kesal dengan tindakan FAM itu berkata, badan induk bola sepak negara itu perlu memberi penjelasan kerana yang membuat aduan sebelum ini adalah KAFA, bukan FAS.

KAFA turut tertanya-tanya walaupun perbicaraan belum dilakukan, kini pemain dari Lubnan itu pula bakal dikenakan tindakan disiplin oleh FAM.

Sebelum ini, KAFA membuat aduan kepada jawatankuasa tatatertib itu supaya mengenakan tindakan disiplin terhadap Bunyamin dan seorang lagi pemain Selangor, Amri Yahyah kerana melakukan ‘kekasaran melampau’ terhadap pemain importnya, Ghaddar pada perlawanan sama.

Bunyamin dalam kenyataannya dalam akhbar ini mengaku bertindak terhadap Ghaddar selepas pemain itu melakukan provokasi terhadapnya. Tindakan Ghaddar itu boleh dilihat menerusi rakaman perlawanan berkenaan di YouTube.

Sehubungan itu, dia meminta FAM menjalankan perbicaraan secara telus ke atasnya selain turut mengambil tindakan sama terhadap Ghaddar.

Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim, mengesahkan Ghaddar yang kini berada di Lubnan untuk melangsungkan perkahwinannya dan dijangka pulang sekitar Ogos ini menerima surat pertuduhan itu semalam yang antara lain mendakwa pemain import dari Lubnan itu menyerang dan memukul Bunyamin secara fizikal.

“Tapi saya tidak mahu ulas lanjut dan menyerahkan kepada FAM membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, FAS mengesahkan dua pemainnya, Amri dan Bunyamin turut menerima surat pertuduhan itu daripada jawatankuasa tatatertib berkenaan semalam.

“Memang benar FAS baru saja terima surat pertuduhan itu tadi (semalam) untuk dua pemain kami, Amri dan Bunyamin. Mereka diminta menjawab pertuduhan itu sama ada mengaku salah atau minta dibicarakan.

“Kami akan meneliti dahulu surat ini, kemudian baru buat keputusan membalasnya sebelum 1 Ogos,” kata Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi, semalam.

Sumber: www.bharian.com.my

Petikan dari Klate.Net

Hairan bin ajaib niih,Kenapa pasukan yang membuat aduan dan terima tuduhan dari FAM.Apa benda ni FAM? Setiausaha Tahu buat kerja ke tak ni? Mata dia dah kabur ke? ke sebab pemain selangor?
 Ghaddar bakal hadapi pertuduhan? sedangkan dalam gambar dan pemain itu sendiri dah mengaku? FAM perlu di bubarkan? Presiden Sila letak jawatan.

 
 

No comments:

Post a Comment