Wednesday 9 October 2013

KELANTAN BERGAYA SINGKIRKAN JDT



Juara bertahan, Kelantan melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Malaysia, semalam selepas mengamuk di Stadium Sultan Muhammad Ke IV dengan membelasah Johor Darul Takzim (Johor DT) 6-1 pada suku akhir kedua bagi melayakkan diri secara agregat 8-5.

Turut mengiringi Kelantan adalah juara Liga Perdana, Sarawak yang mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Sime Darby di Stadium Negeri, Kuching bagi menempah pertemuan dengan Pahang sementara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjadi lawan Red Warriors dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Walaupun tumbang 2-4 di Larkin pada suku akhir pertama yang lalu, Red Warriors membuktikan Kota Bharu adalah gelanggang keramat buat mereka apabila langsung tidak memberikan sebarang ruang kepada Johor DT untuk bernafas selepas melancarkan serangan bertalu-talu sejak awal permainan.

Skuad kendalian Bojan Hodak memulakan kenduri gol mereka melalui pemain sayap, Mohd. Norfarhan Mohamad pada minit ke 19 hasil rembatan deras yang mengenai palang sebelum melantun masuk ke penjuru kanan gawang Harimau Selatan yang dikawal oleh penjaga gol pilihan kedua, Zulfadli Mohamed.

Dua belas minit kemudian, ketua pasukan, Mohd. Badri Radzi menggandakan kelebihan buat tuan rumah ekoran kegagalan bek kanan Johor DT, Nazri Ahmad yang gagal menanduk keluar bola dari kawasan penalti sebelum dia melepaskan rembatan voli dari jarak dekat berhampiran pintu gol Johor DT.

Penyerang kebangsaan, Safee Sali memberikan harapan kepada pasukan JDT apabila berjaya menyumbat gol pada minit ke 41 namun ia gagal membangkitkan semangat pasukannya apabila hanya empat minit selepas itu, Obinna Nwaneri pula yang berjaya merobek gol pelawat sebelum babak pertama berakhir.

Permulaan separuh masa kedua kekal dengan skrip sama apabila Kelantan terus bernafsu dan berjaya memperoleh gol keempat, satu minit selepas sepak mula melalui tandukan Nwakame hasil hantaran Indra Putra dan Norfarhan sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pertahanan Johor DT apabila menambah jaringan tuan rumah pada minit ke-62.

Indra Putra Mahayuddin juga tidak ketinggalan berada dalam senarai penjaring apabila melengkapkan malam yang cukup indah buat semua penyokong Kelantan pada minit ke 88 manakala Harimau Selatan balik ke Johor Bahru dalam keadaan cukup terluka.

Sumber : Utusan Malaysia/6 Oktober 2013

Foto : Abu Izuddin Photography/Syeikh Khairder Syamzarey


Petikan dari Klate.Net

 

Alhamdullilah....Allahuakbar!!!!!!! Allahuakbar!!!!!!!!!!!!! Allahuakbar!!!!!!!!!!! kami bersujud syukur padaMu Ya Robbi...tidak ada apa lagi perkataan yang boleh di gambarkan betapa Bersyukurnya kami Rakyat Kelantan kerana Allah mendengar dan memakbulkan Doa kita semua.Amin Ya Alllah.Tidak ada perkataan lagi yang boleh di ucapkan selain dari Tahniah dan Terima Kasih kepada Semua pemain dan pengurusan TRW kerana memberikan hadiah yang cukup bermakna kepada semua penyokong.Kerana biar tewas kepada pasukan lain namun tidak kepada JDT kerana mereka pernak menyakiti kita.buat baik kita ingat buat jahat kita jadikan penyengat.Rasanya Perlawanan ini memberikan kepuasan kepada seluruh rakyat Kelantan.Terus maju Ke hadapan KlateKU.

GO FOR MORE!!!!!!!!!!!!!!




No comments:

Post a Comment