Thursday 1 November 2012

KELANTAN, ATM BOLOT 4 ANUGERAH BOLA SEPAK KEBANGSAAN




FINALIS Piala Malaysia, Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila masing-masing meraih empat gelaran pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini, penyerang skuad The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talaha meraih dua anugerah apabila dipilih sebagai penyerang terbaik dan pemain paling bernilai musim ini.

Kejayaan tersebut adalah pencapaian hattrik buat anak jati dari Besut, Terengganu itu yang pernah merangkul dua anugerah sama pada 2010 dan 2011.

Norshahrul berkata anugerah tersebut amat bermakna kepada beliau dan isteri, Siti Aisyah Adam yang bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

“Saya bersyukur kerana menerima trofi ini buat kali ketiga berturut-turut dan terima kasih kepada isteri dan keluarga yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini serta juri yang memilih saya,” katanya.

Penjaga gol Kelantan yang juga penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat pula dipilih memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik buat kali ketiga berturut-turut selepas memenanginya pada 2010 dan 2011.

Khairul Fahmi mengetepikan dua calon lain bagi kategori berkenaan iaitu penjaga gol Negeri Sembilan Mohd Farizal Marlias dan Norazlan Razali (Selangor).

Kejayaan Norshahrul dan Khairul Fahmi ternyata memberi kelebihan kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) apabila dinobatkan sebagai Persatuan Bolasepak Negeri Terbaik.

Pencapaian ATM selaku naib juara Piala Malaysia musim ini turut mendapat pengiktirafan apabila merangkul empat anugerah menerusi Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak sebagai pemain pertahanan terbaik; pemain asing terbaik (Marlon Alex James), jurulatih terbaik (B. Sathianathan) dan kelab penyokong terbaik.

Mohd Aidil Zafuan yang meraih anugerah itu selepas kali pertama memenanginya pada 2010 mengetepikan dua lagi calon iaitu rakan sepasukan, Amiridzwan Taj Tajudin dan pemain Kelantan, S. Subramaniam.

Marlon Alex James merangkul anugerah tersebut yang diperkenalkan buat kali pertama tahun ini selepas mengetepikan dua calon lain – Mohammed Ghaddar Mahmoud (Kelantan) dan Jean Emmanuel Effa Owana (Negeri Sembilan).

Jawatankuasa Pemilihan Anugerah turut memilih Kelab Penyokong Bolasepak ATM sebagai Kelab Penyokong Bolasepak Terbaik manakala finalis Piala FA musim ini, Sime Darby dipilih sebagai Kelab Bolasepak Terbaik.

Pada majlis yang sama, FAM turut memilih legenda bola sepak negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat selaku penerima Anugerah Khas Bolasepak Kebangsaan manakala Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran, Ee Hong dipilih menerima Anugerah Khas Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan.

Senarai pemenang:

Penjaga Gol Terbaik: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pemain Pertahanan Terbaik: Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (ATM)

Pemain Tengah Terbaik: Safiq Rahim (Selangor)

Penyerang Terbaik: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)

Pemain Harapan Terbaik: Mohd Rozaimi Abdul Rahman (Sabah)

Jurulatih Terbaik: B.Sathiananthan (ATM)

Pemain Paling Bernilai: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)

Pengadil Terbaik: Nafeez Abdul Wahab

Pemain Asing Terbaik: Marlon Alex James (ATM)

Persatuan Bolasepak Negeri Terbaik: Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa)

Kelab Bolasepak Terbaik: Sime Darby FC

Kelab Penyokong Bolasepak Terbaik: Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Anugerah Khas Bolasepak Kebangsaan: Allahyarhan Tan Sri Abdul Ghani Minhat

Anugerah Khas Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan: Ee Hong (Kementerian Pelajaran)

Petikan dari Klate.Net

No comments:

Post a Comment