Sunday 15 April 2012

Red Warriors Diikat Seri

KELANTAN 1
Mohd Nurul Azwan Roya (m-43)
T-TEAM 1
Khairul Izwan Khalid (m-74)
KOTA BHARU – Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya The Red Warriors setelah mencatatkan keputusan seri 1-1 ke atas T-Team dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kegagalan memanfaatkan deretan peluang yang terhidang terutamanya dalam babak pertama meleburkan hasrat Kelantan untuk meraih tiga mata seterusnya menamatkan rekod cemerlang pasukan T-Team ke atas pasukan tuan rumah sejak musim lalu.
Seawal minit keempat perlawanan pintu gol pasukan T-Team diuji menerusi percubaan  pemain import, Onyekachi Nwoha namun rembatan kencangnya sekadar menerjah jaring sisi sebelah kiri.
Lima minit berselang, tindakan bijak Nwoha melakukan tolakan ke belakang ditampan kemas pemain sayap, Mohd Nurul Azwan Roya namun rembatannya pula tinggi melewati pintu gol T-Team.
Dua minit kemudian, Kelantan terus mencemaskan pintu gol pasukan pelawat menerusi gerakan menarik Nwoha yang memperdayakan dua pemain pertahanan namun rembatannya tersasar sementara percubaan leret Mohd Norfarhan Muhammad seminit selepas itu turut tidak menepati sasaran.
Ketangkasan penjaga gol T-Team, Mohd Syamsuri Mustafa yang beraksi cemerlang dalam perlawanan malam tadi terserah apabila menafikan dua peluang terbaik Indra Putra Mahayuddin menerusi sepakan percuma pada m-14 dan rembatan derasnya dua minit kemudian.
Pasukan pelawat yang menurunkan pemain import barunya, Marco Tulio Lopez Silva bergandingan dengan bekas pemain kebangsaan, Mohd Fadzli Saari seakan buntu untuk memecahkan benteng kebal pertahanan tuan rumah yang diterajui Obinna Nwaneri dalam perlawanan malam tadi.
Nwoha sekali lagi mempersia-siakan peluang ketiga dimilikinya apabila lambat melakukan percubaan ke arah pintu gol T-Team meski pun hanya berhadapan dengan Mohd Syamsuri pada m-40 perlawanan.
Begitu pun, keresahan hampir 20,000 penyokong setia Kelantan akhirnya lenyap apabila Mohd Nurul Azwan menjaringkan gol pembukaan perlawanan tiga minit kemudian. Berpunca hantaran pendek Mohd Norfarhan di dalam kotak penalti, Mohd Nurul Azwan pantas merembat masuk melepasi jangkauan Mohd Syamsuri untuk gol pendahuluan Kelantan.
Pasukan pelawat yang tertekan dengan jaringan tersebut kembali menggandakan asakan dan satu-satunya peluang terbaik mereka hadir pada akhir babak pertama menerusi rembatan kencang Zairo Anuar Zailani namun tersasar di sebelah kiri pintu gol Kelantan.
Bersambung babak kedua menyaksikan percaturan taktikal Yunus Alif memperkemaskan jentera serangan pasukan T-Team dengan memasukkan penyerang, Khairul Izwan Khalid bagi menggantikan Mohd Fadzli.
Hasilnya mereka hampir menyamakan kedudukan pada m-47 perlawanan menerusi rembatan kencang Lopez Silva yang menyaksikan penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail terpaksa melayangkan badan menepis keluar percubaan tersebut.
Malah lima minit kemudian pasukan berstatus kelab itu sekali lagi mempunyai peluang kali ini menerusi rembatan kencang Ketua Pasukannya, Rosdi Talib namun sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan.
Aksi kurang berkesan Mohd Norfarhan memaksa pengendali, Bojan Hodak menggantikan dengan Norshahrul Idlan Talaha pada pertengahan babak kedua namun penyerang kebangsaan itu juga dilihat terbatas pergerakannya rentetan belum pulih daripada kecederaan lutut.
Kekurangan tersebut dihukum oleh barisan pemain pasukan pelawat apabila berjaya menyamakan kedudukan pada m-74 perlawanan. Khairul Izwan memanfaatkan hantaran mengelirukan Lopez Silva menerusi rembatan kencang menewaskan Mohd Shahrizan di pintu gol Kelantan.
Kejayaan pasukan pelawat menyamakan kedudukan 1-1 itu seakan memberikan tekanan kepada barisan pemain The Red Warriors untuk memburu jaringan. Norshahrul Idlan mempunyai peluang terbaik pada m-79 namun rembatannya ditepis keluar Mohd Syamsuri sementara tandukan Nwaneri berpunca sepakan penjuru dua minit kemudian melewati pintu gol T-Team.
Empat minit kemudian, giliran Chanturu mengigit jari apabila rembatannya terus ke dakapan Mohd Syamsuri manakala pemain pemain gantian, Mohamad Zamri Ramli turut terlepas peluang untuk memimpin Kelantan meraih tiga mata apabila percubaan tersasar pada m-88 untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata dalam perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Mohd Shahrizan Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, Obinna Nwaneri, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Badhri Radzi (KP), Mohd Nurul Azwan Roya (Mohamad Zamri Ramli), Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad (Norshahrul Idlan Talaha) dan Onyekachi Nwoha (S Chanturu).
FORMASI : 4-4-2
T-TEAM : Mohd Syamsuri Mustafa, Shahril Faizal Sharifudin, Rosdi Talib (KP), Bojan Petric, Norfadzly Alias, Tengku Hasbulah Raja Hassan, Mohd Badrul Hisani Abdul Rahman (Mohd Dzaiddin Zainudin), Zairo Anuar Zailani, Mohd Faiz Subri, Mohd Fadzli Saari (Khairul Izwan Khalid) dan Marco Tulio Lopez Silva.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (3) T-Team (1)
Percubaan tersasar : Kelantan (11) T-Team (3)
Sepakan penjuru : Kelantan (11) T-Team (3)
Sepakan percuma : Kelantan (20) T-Team (17)
Offsaid : Kelantan (3) T-Team (7)
Kekasaran : Kelantan (13) T-Team (11)
Kad kuning : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan (52%) T-Team (48%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Nagor Amir Noor Mohamad
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail
Penolong Pengadil 2: Yusri Mohamad
Pegawai Keempat : Ku Alauddin Ku Mohd
Kommissioner Perlawanan : Ahmad Khalidi Supian
General Koordinator : Arif Hassan



Perikan dari Klate.Net
 Nwoha bermain dengan baik malam tadi tapi buntu mencari jaringan.Dia terserlah kesungguhannya untuk menjaringkan gol namun ketangkasan Syansuri menyelamatkan usahanya.Namun sudah ada desas desus yang Nwoha akan berundur bagi memberi laluan kepada Mohammad Ghaddar untuk kembali ke Liga Malaysia dan Nwoha akan bermain untuk AFC sahaja.Ramai yang menyatakan keseluruhan pemain nampak kurang fokus mungkin kerana kepenatan setelah mengharungi jadual yang padat dan tambahan pula terpaksa travel bagi mengharungi perlawanan.Apa pun player kena selalu bersedia untuk menghadapinya Demi matlamat perjuangan kita.Apa pun ...Go FOR MORE!!!!!!!!!!!!!!!!

No comments:

Post a Comment