Tuesday 17 July 2012

Red Warriors Baham Bujang Senang



KELANTAN 3
Mohd Badhri Radzi (m-61)
Mohd Norfarhan Muhammad (m-65 dan 67)
SARAWAK 1
Mohd Hairol Mokhtar (m-69)
KOTA BHARU – Juara Liga Super 2012, Kelantan menutup tirai saingan liga musim ini dengan penuh bergaya setelah menewaskan Sarawak 3-1 dalam aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Lebih manis, kemenangan ke-18 yang dirakam dalam perlawanan malam tadi menyaksikan Kelantan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri sepanjang musim ini.
Malah kemenangan tersebut mengiringi kegembiraan hampir 16,000 penyokong mereka yang setia menunggu untuk meraikan kejayaan Kelatan menjulang trofi Liga Super di gelanggang keramat malam tadi.
Sarawak yang melakukan sepak mula dikejutkan dengan serangan balas pantas ketika perlawanan baru memasuki minit pertama apabila hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya ditanduk tepat Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi namun diselamatkan penjaga gol, Saiful Amar Sudar.
Selang tiga minit kemudian, giliran Sarawak pula mencemaskan pintu gol Kelantan menerusi hantaran lintang Mohd Azizan Baba namun tampanan Zamri Morshidi diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan walaubagaimana pun berpeluang untuk berada di depan pada m-16 perlawanan apabila umpanan cantik Mohd Nurul Azwan ditampan kemas Mohd Badhri namun kegopohan beliau menyaksikan rembatannya sekadar melewati pintu gol pasukan pelawat.
Selang dua minit kemudian Kelantan sekali lagi mensia-siakan peluang terbaik mereka apabila hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha berjaya ditampan Mohd Nurul Azwan namun Saiful Amar berada tepat pada kedudukan untuk menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.
Sarawak yang sekali-sekala menyerang kembali membuka ruang untuk mencipta jaringan seminit kemudian kali ini menerusi rembatan kencang pemain importnya, Joe Epalle namun tersasar disebelah kiri pintu gol Kelantan.
Begitu pun, Norshahrul Idlan yang kemarau jaringan sejak 10 perlawanan lalu terlepas peluang untuk meledakkan gol pertama Kelantan apabila rembatan kencangnya dalam situasi kelam-kabut di depan pintu gol Sarawak tertampan benteng pertahanan lawan pada minit ke-37 perlawanan.
Pasukan pelawat yang dibimbing Robert Alberts kempunan untuk mengejutkan Kelantan apabila Joe Epalle yang hanya berhadapan Khairul Fahmi memilih menyepak liar ke sebelah kiri pintu gol Kelantan dua minit kemudian.
Seminit sebelum babak pertama berakhir, pasukan Bujang Senang sekali lagi mensia-siakan peluang terbaik mereka setelah Zamri Morsidi yang melepasi pertahanan Kelantan gagal menjaringkan gol apabila rembatannya diselamatkan Khairul Fahmi.
Babak kedua bersambung menyaksikan pasukan pelawat mempamerkan aksi lebih tersusun menerusi jentera tengah mereka yang diterajui Guy Bwele. Ini terbukti apabila gerakan menarik Mohammad Dzulazlan Ibrahim dan Joe Epalle berjaya memperdayakan benteng pertahanan Kelantan namun percubaan daripada dua pemain tersebut dinafikan Khairul Fahmi pada m-56 perlawanan.
Ketangkasan penjaga gol Kelantan itu  sekali lagi teruji apabila berjaya menepis keluar rembatan pemain sayap Sarawak, Ashri Chuchu pada jarak 25 meter seminit kemudian.
Begitu pun gol yang ditunggu-tunggu oleh penyokong setia The Red Warriors akhirnya menjelma pada minit ke-61 perlawanan. Mohd Badhri memanfaatkan situasi bola mati apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti tepat menerjah jaring penjuru kanan untuk gol pertama Kelantan.
Selang empat minit kemudian, Mohd Norfarhan Muhammad menggandakan jaringan untuk Kelantan. Bekas pemain T-Team musim lalu menyempurnakan gerakan awal Norshahrul Idlan dengan merembat masuk menewaskan Saiful Amar di pintu golnya.
Sarawak terus tertekan apabila apabila Mohd Norfarhan Muhammad menjaringkan gol ketiga Kelantan dua minit kemudian. Kesilapan Saiful Amar yang meluru keluar daripada posisinya dihukum dengan lambungan mudah Mohd Norfarhan setelah menerima umpanan jauh daripada Mohd Badhri.
Kerja keras pemain Sarawak bagaimana pun berjaya membuahkan hasil dengan merapatkan jurang pada minit ke-69 perlawanan apabila  sepakan percuma Guy Bwele ditanduk masuk Mohd Hairol Mokhtar menewaskan Khairul Fahmi di pintu gol Kelantan.
Pasukan pelawat turut mempunyai dua peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan namun sepakan percuma Guy Bwele pada m-85 perlawanan sedikit melewati pintu gol Kelantan sementara rembatan leret beliau seminit kemudian diselamatkan Khairul Fahmi.
Minit-minit akhir perlawanan, Sarawak diberikan sepakan penalti setelah pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam menjatuhkan Zamri Morshidi di dalam kotak penalti.
Namun Joe Epalle gagal menghadiahkan gol saguhati untuk Sarawak apabila sepakannya terkena tiang gol kanan untuk mengakhiri kemenangan 3-1 Kelantan ke atas pasukan daripada Kepulauan Borneo dalam perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Zamri Ramli,  S Subramaniam, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Zairul Fitree Ishak, Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP),  Mohd Nurul Azwan Roya (Indra Putra Mahayuddin), Mohd Norfarhan Muhammad (Khairul Izuan Rosli), Norshahrul Idlan Talaha dan Azlan Ismail (Muhammad Ramzul Zahini Adenan).
FORMASI : 4-4-2
SARAWAK : Saiful Amar Sudar, Ramesh Lai Ban Huat, Yosri Derma Raju (Sahran Abdul Samad), Mohammad Dzulazlan Ibrahim (K Ravindran), Mohd Hairol Mokhtar, Mohammad Shahrol Saperi, Ashri Chuchu, Guy Bwele (KP), Zamri Morshidi, Mohd Azizan Baba (Mohamad Fareez Tukijo) dan Joe Epalle.
FORMASI : 4-4-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (8) Sarawak (6)
Percubaan tersasar : Kelantan (3) Sarawak (3)
Sepakan penjuru : Kelantan (3) Sarawak (4)
Sepakan percuma : Kelantan (21) Sarawak (13)
Ofsaid : Kelantan (1) Sarawak (7)
Kekasaran : Kelantan (11) Sarawak (13)
Kad kuning : Kelantan (Mohammad Zamri Ramli) Sarawak (Ashri Chuchu dan Mohd Hairol Mokhtar)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Tiga minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Sarawak (45%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : S Sittharajanan
Penolong Pengadil 1: Mohd Azhar Ismail
Penolong Pengadil 2: Mohd Afiq Mohamain
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Said
Kommissioner Perlawanan : Azman Sulong
Penilai Pengadil : Nik Ahmad Yaakob
General Koordinator : Arif Hassan
Petikan dari Klate.Net

Perlawanan malam ini bermula dengan agak baik.Petahanan kedua-dua pasukan melakukan tugas masing-masing dengan baik.Penyokong kelantan mahukan Aksi akhir perlawanan LIga Super berakhir dengan kemenangan.Separuh masa pertama berahir dengan 0-0.
Separuh masa kedua barulah kita dapat melegakan hati dan perasaan kita dengan jaringan yang menarik dari Piya dan Farhan (2 gol).Kita juga di bolosi 1 gol terakhir.Aksi Kelantan malam ini adalah seolah-olah menuggu mangsa.Bila pertahanan lawan leka sahaja kita terus serang tanpa belas kasihan.Memang sukar hendak berdepan dengan TRW.Tektikal dan kebijaksanaan pemain dlam menjana pergerakkan.Tahniah Worriors!!!!!!!!!!!!!!!!!!


Apa pun berakhirlah liga Super 2012 dengan Kelantan berada di tangga teratas mengatasi 13 pasukan lain di negara ini.2 Kekalahan sahaja.Prestasi terbaik TRW.


GO FOR MORE!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

No comments:

Post a Comment