Saturday 20 April 2013

LETIH PUNCA KELANTAN TEWAS, KATA ANNUAR


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kekalahan 1-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpunca daripada barisan pemainnya yang mengalami keletihan setelah mengharungi beberapa perlawanan sebelum ini.

Sambil menganggap kudrat anak buah Bojan Hodak ‘terlebih guna’ dan penggantungan Obinna Nwaneri menjejaskan prestasi Kelantan, Annuar bagaimanapun akur dan menerima kekalahan itu dengan hati terbuka.

“Kepenatan dan penggantungan Obinna menjejaskan prestasi The Red Warriors (TRW) dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh anak buah B. Sathianathan.

“ATM juga bermain lebih baik pada keseluruhannya setelah mereka mempunyai tempoh rehat yang panjang berbanding kita,” kata Annuar menerusi laman Facebook.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kekalahan pasukannya kepada pasukan ATM di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu semalam.

Dalam perlawanan tersebut, ATM meraih tiga mata berharga di hadapan hampir 12,000 penyokong lawan.

Mengulas lanjut, Annuar berharap kekalahan itu tidak akan mematahkan semangat anak buah Bojan untuk terus berjuang selagi saingan liga belum berakhir.

“Kita mesti berani menyahut cabaran dan berjuang, sentiasa yakin pada keupayaan kita dan bertawakal pada ALLAH.

“Ini kerana dalam bola sepak kita tidak akan temui jalan mudah untuk meraih sebarang kejayaan, kita akan sentiasa dicabar dan di tentang, di sinilah ujiannya.

“Jadi jangan kecewa dan putus asa. Apa yang penting kita harus berikhtiar untuk terus maju ke hadapan,” jelas beliau.

Petikan dari Klate.Net

GO FOR MORE!!!!!!!!!!!!! 

 

   

No comments:

Post a Comment