Friday 1 January 2016

INDRA PUTRA KEMBALI DEMI PEMINAT




KOTA BHARU – Bekas pemain tengah Felda United, Indra Putra Mahayudin berkata sokongan yang diterima daripada penyokong setia The Red Warriors membuatkan dia mengambil keputusan untuk kembali menyarung jersi pasukan berkenaan musim depan.

Indra berkata, faktor itu juga membuatkan dia menolak tawaran daripada beberapa pasukan yang turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya tanpa mengadakan perbincangan lanjut.

“Alhamdulillah perbincangan tertutup antara saya dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) beberapa hari lalu akhirnya menemukan kata sepakat.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk kembali ke Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa semalam membuat pengumuman bahawa Indra Putra sah menyarung jersi Kelantan untuk musim 2016. Pengumuman itu dibuat sebelum perlawanan persabatan The Red Warriors menentang pasukan Liga FAM, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Berita gembira itu disambut dengan sorakan bergemuruh dari penyokong yang menyaksikan perlawanan itu yang berkesudahan Kelantan menang 2-0.

Tambah Indra, keputusan yang diambilnya adalah tepat sekali gus menunaikan janjinya sebelum ini untuk kembali semula ke Kelantan.

“Hujung tahun lalu tidak menjadi kenyataan, namun kali ini hasrat itu menjadi realiti,” katanya.

Indra berkata, dia berterima kasih kepada pucuk pimpinan KAFA terutama Annuar yang masih lagi percaya dengan kebolehannya.

Katanya, dia percaya Kelantan akan kembali bangkit dan menjadi salah sebuah pasukan yang mampu mencabar musim depan.

“Keyakinan itu berdasarkan kepada ramuan pemain yang ada. Saya juga akan berusaha memberikan persembahan terbaik untuk pasukan musim hadapan,” katanya.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment