Sunday 14 October 2012

BOJAN YAKIN KELANTAN JULANG PIALA MALAYSIA



JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak yakin pasukannya akan menjulang Piala Malaysia edisi 2012 dengan mengatasi  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada final, 20 Oktober ini.

Kejayaan Kelantan menewaskan Selangor 3-0 secara agregat malam tadi, sekali gus melayakkan pasukan dari pantai timur itu ke pentas akhir.

“Secara statistik, kami merupakan pasukan yang terbaik dan di bahagian pertahanan masih boleh ditingkatkan untuk aksi final nanti.

“Saya berpuas hati dengan persembahan para pemain dan ini merupakan corak permainan yang terbaik,” kata Bojan.

Berikutan dua pemain Kelantan yang tidak akan beraksi di pentas akhir kerana dilayangkan kad kuning iaitu Mohd Norfarhan dan Mohamed Mahmoud Ghaddar, ia dilihat akan menjadi satu masalah besar.

“Dua pemain kami Norfarhan dan Ghaddar tidak akan beraksi di final nanti, akan menjadi satu masalah besar. Kedua-dua pemain ini mempunyai kualiti permainan yang bagus di mana mereka sering menjaringkan gol untuk pasukan.

“Matlamat kami untuk menang dan saya yakin kami mampu untuk melakukannya walaupun ketiadaan dua tunjang utama pasukan,” katanya lagi.

Bojan turut memuji kecekapan  penjaga gol Selangor, Norazlan Razali dalam aksi penentuan ke saingan akhir malam tadi.

“Selangor mempunyai seorang penjaga gol yang bagus. Jika kita lihat, dia berjaya menyelamatkan lebih tiga kali serangan dari Kelantan, yang saya fikir kami boleh menjaringkan gol,” jelasnya.

Bojan perlu menyusun strategi yang mantap untuk menentang ATM, yang  merupakan juara Liga Perdana.

“ATM merupakan satu pasukan yang kuat, mempunyai barisan  pemain kebangsaan dan dua pemain import yang hebat.

“Begitu juga dengan jurulatihnya, dia sangat bagus tetapi saya yakin dengan pasukan saya akan meraih kemenangan,” tambah Bojan.

Petikan dari Klate.Net


 

No comments:

Post a Comment