Friday 21 September 2012

Pengajaran Berguna Untuk Kelantan



ADA pengajaran berguna buat Kelantan setelah diaibkan dengan kekalahan besar 1-5 kepada Arbil FC dalam aksi suku akhir pertama Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), malam kelmarin, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Bukan sahaja perbezaan kualiti permainan yang ditunjukkan kedua-dua pasukan, malah saiz fizikal pemain negara juga dilihat gagal menyaingi kehebatan pemain negara Asia Barat itu.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim mengakui kecewa dengan kekalahan besar itu, namun pada masa sama berharap barisan pemainnya dapat mempelajari sesuatu terutama ketika bersaing dengan pasukan terbaik di peringkat Asia pada kejohanan tersebut.

“Kita bertandang ke Iraq dengan skuad yang tempang apabila sebahagian besar tonggak utama tidak menyertai pasukan ini,” katanya kepada Sinar Harian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.

“Malah kegagalan kita mendaftar dua pemain import, Kieta Mandjou dan Mijo Dadic juga turut memberi kesan kepada persiapan pasukan. Apa yang kita mampu lakukan, beraksi tanpa beberapa pemain utama dan menghadapi kelab yang hebat seperti Arbil ini.

“Kita kena akui masih jauh ketinggalan berbanding mereka. Kita kalah kepada pasukan yang terbukti lebih baik dan kekalahan ini dapat mengukur sejauh mana kemampuan kita apabila bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kekalahan tersebut sekali gus menyempitkan laluan Kelantan untuk mencipta kejutan mara ke separuh akhir memandangkan perlu menang dengan jumlah jaringan yang besar apabila menghadapi lawan yang sama pada saingan suku akhir kedua di Kota Bharu pada 25 September ini.

Petikan dari Klate.Net

 

No comments:

Post a Comment