Tuesday 20 December 2011

KELANTA N KEMPUNAN JUARA

Pemain Perlis gembira meraikan kemenangan mereka bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, Datuk Razali Ibrahim(baju hitam/kuning), Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong (baju biru/putih) dan Ahli Jawatankuasa Program, Datuk Dell Akhbar Khan (baju hijau).


PERLIS 0
KELANTAN 0
(Perlis menang menerusi sepakan penalti 4-3)
MUAR – Hasrat Kelantan untuk meraih gelaran pada edisi sulung Kejohanan Bola Sepak Juara Antara Juara Bawah 12 Tahun tidak kesampaian setelah tewas menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 kepada Perlis dalam aksi perlawanan akhir penuh dramatik yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Johor petang semalam.
Penentuan juara terpaksa dilakukan menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam tempoh 60 minit permainan berlangsung. Namun penentuan pasukan bergelar juara masih lagi gagal ditentukan apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 daripada lima sepakan penalti yang dilakukan.
Akhirnya, penentuan sepakan penalti ‘suddent death’ dilakukan namun sepakan penyerang Kelantan, Ahmad Tasnim Nasir diselamatkan penjaga gol Perlis, Mohd Shahzwan Shafri. Kesudahannya, sepakan terakhir oleh pemain Perlis, Muhammad Akmal Salleh yang menerjah jaring sebelah kanan menjulang pasukannya muncul juara sulung pada kejohanan tersebut.
Dengan kejayaan tersebut, pasukan Perlis meraih hadiah wang tunai RM10,000 dan piala pusingan sementara Kelantan selaku naib juara menerima hadiah wang tunai RM7,500. Pasukan Kedah meraih tempat ketiga keseluruhan setelah menewaskan Pulau Pinang 2-0 dan meraih hadiah wang tunai RM5,000.
Kejayaan pasukan Perlis nyata lebih gemilang apabila enam pemain mereka menyapu bersih enam daripada tujuh anugerah pemain yang dipertandingkan. Mendahului senarai ialah Ammar Akhmall Alias yang diumumkan selaku Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, Mohd Shahzwan Shafri (Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Paling Bernilai MVP), Fauzan Fazil (Pemain Pertahanan Terbaik) dan Mohd Zafuan Azman selaku Pemain Penyerang Terbaik dan Penjaring Terbanyak Kejohanan dengan enam gol.
Sementara itu, pemain Kelantan, Wan Alif Aiman Rosmaidi turut meraih gelaran selaku Pemain Tengah Terbaik sepanjang kejohanan itu berlangsung.
Terdahulu dalam saingan separuh akhir sebelum itu, Kelantan berjaya membelasah Pulau Pinang 4-0 menerusi jaringan Muhamad Syaiful Alias (m-15), Nik Akif Syahiran Nikmat (m-28), Muhd Asyraf Hanif Zaimi (m-56) dan Wan Alif Aiman Rosmaidi (m-60) manakala Perlis mengatasi Kedah 1-0 hasil jaringan Mohd Zafuan Azman pada m-53 perlawanan.
Kejohanan Bola Sepak Juara Antara Juara Bawah 12 Tahun itu merupakan salah satu daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan disertai 12 pasukan dari seluruh negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program, Datuk Razali Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam kejohanan tersebut. Turut hadir menyaksikan ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan Ahli Jawatankuasa Program, Datuk Dell Akhbar Khan.

 Petikan dari KELATE.net

Walaupun tewas,tetapi young worriors kita telah berjuang habis-habisan untuk memenangi perlawanan.Penalti  adalah penentuan dan cuma nasib tidak memihak pada kita.Apa-apa pun mereka bakal mendominasi skuad utama kelak.Mintak pihak yang terlibat agar memerhatikan dan membawa mereka ke satu posisi yang akan menggembangkan bakat yang dah ada cuma perlu diasuh dan di gilap sebaik mungkin.Mana tahu akan datang lebih ramai pemain import akan berada dalam skuad.Harap adik-adik nii teruskan pejuangan dan pastikan tempat mereka di skuad utama dan kalau nasig mnyebelahi mungkin skuad kebangsaa,GO FOR MORE!!!!!!!!!!!


No comments:

Post a Comment