Friday 2 December 2011

Persahabatan: Kelantan 3-1 Perak



Kelantan yang turun dengan barisan terbaik berjaya mencipta kemenangan selepas menundukkan skuad yob 3 - 1 pada perlawanan persahabatan di Negeri Sembilan.
Pada perlawanan tersebut, Perak terlebih dahulu menguji kubu Kelantan menerusi tendangan percuma pada minit ke-8 namun berjaya ditumbuk keluar oleh penjaga gol Shahrizan Ismail.


Perak sekali lagi berjaya menguji pintu gol Kelantan pada minit ke-10 namun sepakan pemain Perak meliar ke kiri gawang gol.
Jaringan gol pertama Kelantan terhasil selepas Danny Antwi dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-12 dan beliau sendiri menyepak masuk untuk memberikan kelebihan 1 - 0 buat pasukan Kelantan.


Pada minit ke-17 Perak nyaris menyamakan kedudukan menerusi tendangan fahrulrazi kamaruddin namun percubaannya terkena tiang gol.
Pada minit ke-23 Kelantan membuat pertukaran awal memasukkan pemain import dari Ghana Okine dan mengeluarkan pemain import dari Afrika iaitu Habib.
Kelantan berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-25 jaringan bekas ketua pasukan Kelantan Indraputra Mahyuddin yang pertama kali beraksi buat pasukan Kelantan sejak meninggalkan Kelantan pada akhir musim 2010. Gol ini terhasil dari gerakan Farhan Muhammed dan Badhri Radzi yang bijak melorongkan bola kepada Indraputra.


Malang buat Perak apabila percubaan pemainnya pada minit ke-34 sekali lagi gagal menemui jaringan selepas rembatan pemain Perak terkena palang gol.
Tamat separuh masa pertama menyaksikan Kelantan selesa dihadapan dengan kedudukan 2 - 0.
Pada separuh masa kedua, Kelantan membuat pertukaran mengeluarkan Danny Antwi, Indra, Farhan dan memasukkan penyerang harapan dari Lubnan iaitu Mohammed Ghaddar, Nurul Azwan Roya dan Ramzul.
Perak berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-61 hasil jaringan ketua pasukan Shahrulnizam Mustapha.


Penyerang tumpuan Mohammed Ghaddar sukar untuk membuat percubaan ke arah pintu gol Perak kerana kurang mendapat bantuan dari rakan sepasukan namun beliau banyak kali membuat gerakan menarik dan mempunyai kawalan bola yang kemas.
Minit ke-82 Kelantan hampir menambah jaringan namun rembatan Nurul Azwan Roya diselamatkan oleh penjaga gol Perak iaitu Nasril Nordin.


Walaupun ketinggalan namun Perak lebih banyak menggasak kubu pertahanan Kelantan pada 10 minit terakhir perlawanan.
Percubaan pemain import dari Ghana Okine menerusi rembatan jarak jauh minit ke 87″ tinggi melepasi palang gol.
Serangan Kelantan pada minit ke-89 ialah menerusi rembatan Ghaddar yang berjaya ditepis oleh penjaga gol Perak Nasril Nordin selepas Mohammed Ghaddar berjaya menewaskan tiga pertahanan Perak.


Pada minit-minit terakhir, Kelantan sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan Perak menampan bola dengan tangan di dalam kotak penalti dan Ghaddar tenang menyepak masuk untuk memberikan gol ke tiga buat Kelantan.


Tamat Perlawanan menyaksikan Kelantan 3 - 1 Perak. Perlawanan persahabatan Kelantan seterusnya ialah pada 10 Disember 2011 menentang T-Team di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu.
Sumber: Kelantan FA

GOMO KLATE GOMO!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! 



No comments:

Post a Comment