Sunday 25 December 2011

Persebaya Ikat Kelantan



KELANTAN 1
Indra Putra Mahayuddin (m-61)
PERSEBAYA FC 1
Andik Vermansyah (m-85)
KOTA BHARU – Meskipun beraksi sembilan pemain sepanjang 20 minit terakhir, namun Kelantan menampilkan aksi yang tersendiri apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Persebaya FC dalam perlawanan bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Seawal minit keempat perlawanan, Kelantan seharusnya berada di depan apabila penyerangnya, Mohammed Ghaddar bijak melepasi perangkap ofsaid namun rembatannya mudah diselamatkan penjaga gol Persebaya FC, Dedy Iman Sukanto.
Empat minit kemudian, pasukan Persebaya FC melakukan serangan balas pantas menerusi percubaan pemain importnya, Andrew Nikolas Barisic yang menyaksikan bola rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Kelantan, Mohd Syazwan Yusof.
Pada m-30, pasukan Persebaya FC sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan, juga menerusi percubaan Barisic dari jarak 25 meter memaksa Mohd Syazwan merebahkan badan menyelamatkan percubaan tersebut.
Namun pada m-35 perlawanan, Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan, Azizi Matt Rose dilayangkan kad merah setelah mengasari pemain Persebaya FC, Alexandro Da Silva.
Pemain skuad Bawah 23 Tahun Indonesia, Andik Vermansyah nyata menjadi duri dalam daging apabila kerap kali mencipta gerakan merbahaya untuk pasukannya. Rembatan kencangnya di dalam kotak penalti pada m-40 hampir menghasilkan jaringan namun menerjah jaring sisi sebelah kiri pintu gol Kelantan.
Lima minit babak kedua bersambung, Kelantan sekali lagi meneruskan ancaman berbisa memburu untuk jaringan menerusi sepakan percuma cantik oleh Indra Putra Mahayuddin namun sempat ditepis keluar oleh Dedy Iman.
Sentuhan Indra Putra nyata masih berbisa apabila menjaringkan gol pada m-61 perlawanan. Berpunca hantaran pendek oleh Mohd Norfarhan Muhammad di dalam kotak penalti, bekas penyerang kebangsaan itu  meledakkan rembatan kencang yang terkena palang sebelum melantun masuk untuk gol pembukaan Kelantan.
Ternyata gol tersebut membakar semangat pemain The Red Warriors namun Mohammed Ghaddar sekali lagi mensia-siakan peluang terbaik dimiliknya pada m-65 perlawanan apabila memilih menyepak lemah di depan pintu gol pasukan pelawat.
Derita terus menghantui Kelantan apabila terpaksa beraksi dengan sembilan pemain pada m-69 perlawanan. Tindakan pemain gantian, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim berbalas kekasaran dengan Barisic nyata mengundang padah apabila dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil dalam perlawanan malam tadi.
Kelebihan beraksi dengan 11 pemain gagal dimanfaatkan oleh Persebaya FC sebaliknya pasukan tuan rumah pula dilihat lebih ghairah melancarkan serangan untuk menambahkan jaringan.
Penyerang kebangsaan Lebanon, Mohammed Ghaddar sekali lagi gagal meletakkan Kelantan lebih selesa di depan apabila tampanannya diselamatkan Dedy Iman pada m-74 perlawanan setelah menerima hantaran lintang daripada Mohd Norfarhan sebelum itu.
Pada m-83 perlawanan, Persebaya FC hampir menjaringkan gol penyamaan namun tandukan pemain pertahanannya, Otavio Dutra singgah di tiang gol sebelah kanan meskipun Mohd Syazwan sudahpun tertewas di posisinya.
Dua minit kemudian, Persebaya FC berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Andik. Gerakan solo menarik beliau bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Kelantan di dalam kotak penalti sebelum rembatannya menerjah jaring sebelah kiri gagal diselamatkan oleh Mohd Syazwan.
Perlawanan timbal balik bagi merebut trofi Permai itu akan berlangsung di Stadium Gelora 10 November, Surabaya pada 28 Disember ini.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN: Mohd Syazwan Yusof, Mohd Daudsu Jamaludin, Azizi Matt Rose, S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail (Mohd Farisham Ismail), Mohd Norfarhan Muhammad (Zacharia Charara), Emmanuel Ayaah Okine (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), Indra Putra Mahayuddin, Denny Antwi (Mohd Shakir Shaari), Mohammed
Ghaddar dan Norshahrul Idlan Talaha (KP) (Muhd Badhri Radzi).
FORMASI: 4-3-3
PERSEBAYA FC: Dedy Iman Sukanto, Mat Halil, Erol Iba (KP) (Khomad Suharto), Otavio Dutra, Edy Gunawan, Alexander Da Silva Mariano, Rivelino (Muhamad Aulia Ardli), Jusmadi (Miko Ardiyanto), Taufiq, Andik Vermansyah dan Andrew Nikolas Barisic (Rian Wahyu Aryyudha).
FORMASI: 4-5-1

Petikan Dari KELATE.net
Sikit lagi kena baiki . . pemain kena pandaii kawal emosi dan sentiasa fokus . .nak lawan team luar dari Malaysia memang susah sikit . .sebab kita tak biasa dengan strategi mereka.GO FOR MORE!!!!!!!


No comments:

Post a Comment