Thursday 5 January 2012

Apex Terima Rumah Baru

Khairul Fahmi (kiri) menerima replika kunci rumah daripada Nik Abdul Aziz pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah oleh Kerajaan Negeri Kelantan, semalam.

Hadiah Kerajaan Negeri, atas kecemerlangan membantu skuad negara
KOTA BHARU – Semalam merupakan hari yang begitu bermakna bagi keluarga penjaga gol utama kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat setelah menerima hadiah berupa rumah baru yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Hadiah bernilai RM200,000 itu disumbangkan oleh Kerajaan Negeri kepada Khairul Fahmi atau lebih dikenali Apex bagi menghargai kecemerlangannya membantu skuad bola sepak kebangsaan menjulang kejuaraan pertama Piala AFF Suzuki penghujung tahun 2010.
Majlis Penyerahan Kunci Rumah tersebut disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan berlangsung di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Ketua Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Zainal Ab Rahim.
Nik Abdul Aziz di dalam sidang media berkata, beliau berharap kecemerlangan Apex sebagai anak jati negeri di dalam sukan bola sepak dapat diteruskan sehingga ke peringkat lebih tinggi.
“Hari ini kita merasa bangga kerana dapat menyerahkan hadiah berupa rumah baru ini kepada Khairul Fahmi atas kecemerlangan beliau dan terbaru beliau mendapat undian tertinggi bagi pemilihan calon terbaik penjaga gol di Asia.
“Kelantan sememangnya terkenal dengan melahirkan ramai golongan yang berjaya dalam pelbagai bidang dan kejayaan Apex merupakan salah satu daripadanya. Saya berharap beliau terus berjaya dalam bidang bola sepak ini.
“Meskipun sumber kewangan kita terbatas namun kita masih boleh beri hadiah kepada anak jati negeri ini yang berjaya. Ini merupakan tanda penghargaan kepada beliau dan mana-mana anak jati negeri ini yang berjaya kita tetap akan bagi hadiah,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol utama Kelantan itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan Negeri yang memberikan hadiah rumah kepada beliau.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri di atas pemberian hadiah ini. Ia menjadi hadiah yang cukup bermakna bukan sahaja kepada saya tetapi juga seluruh anggota keluarga saya,” katanya.

Petikan dari KELATE.net

Alhamdullilah, Terima kasih Kerajaan Negeri Kelantan kerana memberi sumbangan atas jasa pemain yang telah memajukan dan mengharumkan nama Negeri dan Negara.Apa Pun Kemas Tok Guru kito . . .GO FOR MORE!!!!!!!!!!!!!!!


No comments:

Post a Comment