Sunday 29 January 2012

Red Warriors Kekal Teraju Liga


KELANTAN 3
Norshahrul Idlan Talaha (m-46)
Mohd Badhri Radzi (m-72)
Denny Antwi (m-78)
KUALA LUMPUR 0
KOTA BHARU – Kelantan terus mengukuhkan kedudukan selesa di persada liga setelah menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi perlawanan kelima Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kemenangan malam tadi menyaksikan The Red Warriors terus menerajui takhta liga meskipun di ekori rapat dua lagi pencabar iaitu Terengganu dan Perak yang turut melakarkan kemenangan bergaya ke atas lawan masing-masing.
Penyerang terbilang, Norshahrul Idlan Talaha memulakan gerakan merbahaya untuk Kelantan seawal minit kesembilan perlawanan apabila merembat kencang umpanan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi namun bola rembatannya ditepis keluar penjaga gol Kuala Lumpur, Mohammad Amirul Abu Seman.
Seminit kemudian, giliran pemain tengah, Mohd Shakir Shaari mencemaskan pintu gol pasukan pelawat namun rembatan kencangnya daripada luar kotak penalti hanya tersasar beberapa meter di atas pintu gol pasukan Kuala Lumpur.
Penyerang import, Mohammed Ghaddar mempunyai tiga peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan berada di depan dalam tempoh lima minit namun dinafikan oleh ketangkasan Mohammad Amirul yang dilihat bekerja keras sepanjang perlawanan malam tadi.
Rembatan Mohammed Ghaddar pada m-12 perlawanan berpunca hantaran lambung Mohd Badhri ditepis keluar Mohammad Amirul dan seminit kemudian beliau terlepas peluang sekali lagi untuk menceriakan hampir 20,000 penyokong setia The Red Warriors apabila rembatan leretnya pula tersasar di sebelah kiri pintu gol Kuala Lumpur.
Tidak terhenti di situ, Mohammed Ghaddar yang menjanjikan kebangkitan untuk meledak dalam perlawanan ini terus dikritik hebat apabila mensia-siakan peluang terbaik pada m-15 perlawanan setelah rembatannya gagal menerjah jaring pasukan Kuala Lumpur.
Meskipun dilihat banyak bertahan dalam babak pertama, namun pasukan pelawat yang mempertaruhkan barisan pemain muda turut mempunyai peluang menguji pintu gol Kelantan pada m-16 perlawanan menerusi rembatan pemain sayap, S Sivaraj namun tersasar di sebelah kanan.
Malah pasukan Kuala Lumpur hampir mengejutkan pasukan tuan rumah pada m-31 perlawanan namun percubaan Muhammad Afiq Azmi yang menerima umpanan Hishamuddin Othman pula terkena tiang gol meskipun Khairul Fahmi Che Mat seakan gagal menyelamatkan rembatan tersebut.
Mohammed Ghaddar seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila mensia-sia peluang keempat yang dimilikinya pada m-38 perlawanan dengan memilih menyepak tepat kepada Mohammad Amirul tatkala pintu gol pasukan Kuala Lumpur sudah pun ternganga luas.
Dua minit sebelum babak pertama berakhir, Kelantan terus buntu untuk menjaringkan gol pertama mereka apabila tendangan akrobatik bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin sekadar menggegarkan tiang gol Kuala Lumpur walaupun Mohammad Amirul sudah pun tertewas di posisinya.
Seminit babak kedua bersambung, Norshahrul Idlan memecahkan kebuntuan apabila meledakkan gol pertama untuk Kelantan. Hantaran Indra Putra ke dalam kotak penalti pantas disambut menerusi tandukan mudah untuk menewaskan Mohammad Amirul di gawang golnya.
Ternyata gol tersebut kembali merancakan tempo permainan dan Norshahrul Idlan hampir menghadiahkan gol kedua untuk Kelantan sepuluh minit kemudian namun rembatan kencangnya setelah menerima umpanan Mohd Norfarhan Muhammad terus ke dakapan Mohammad Amirul.
Ketinggalan satu gol seakan memberikan tekanan kepada pasukan warga kota yang dilihat begitu terdesak untuk mencari kemenangan pertama dalam perlawanan malam tadi.
Satu-satunya peluang terbaik pasukan Kuala Lumpur hadir pada m-66 perlawanan menerusi Hishamuddin namun percubaannya ditepis keluar Khairul Fahmi di gawang gol Kelantan.
Seminit kemudian, pasukan pelawat sekali lagi gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan apabila tandukan Muhammad Afiq berpunca sepakan sudut Hishamuddin diselamatkan Khairul Fahmi di depan pintu gol Kelantan.
Aksi hambar Mohammed Ghaddar sepanjang babak kedua berlangsung memaksa pengendali Kelantan, Peter Butler menggantikannya dengan seorang lagi penyerang import, Denny Antwi pada m-68 perlawanan.
Baru seminit dimasukkan, Antwi yang mendapatkan sentuhan pertamanya melakukan percubaan namun rembatan leretnya pula tersasar di sebelah kiri pintu gol pasukan pelawat.
Mohd Badhri terus menyalakan semangat juang rakan sepasukannya apabila menjaringkan gol kedua Kelantan pada m-72 perlawanan. Sepakan percuma diluar kotak penalti yang dilakukan oleh beliau tepat menerjah jaring menyaksikan Mohammad Amirul hanya mampu mengutip bola di dalam gawangnya.
Antwi, pemain import kelahiran Ghana yang sering dikritik hebat sebelum ini memastikan tiga mata penuh milik The Red Warriors apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan dalam perlawanan malam tadi.
Berpunca umpanan tinggi Indra Putra di sebelah kiri padang, Antwi yang bijak melepasi perangkap ofsaid pertahanan lawan mudah merembat masuk menewaskan Mohammad Amirul untuk gol terakhir dalam perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain :
KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam, Mohamad Ab Aziz Ismail, Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP), Mohd Norfarhan Muhammad (Mohd Nurul Azwan Roya), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Mohammed Ghaddar (Denny Antwi).
FORMASI : 4-4-2
KUALA LUMPUR : Mohammad Amirul Abu Seman, Hishamuddin Othman, Ahmad Jihad Ismail, S Sivaraj (Fazuan Abdullah), Muhammad Nur Hakim Md Adzhar, Aiman Syazwan, Muhd Syafwan (Khairul Anuar Shafie), Mohamed Aslam Haja Najumudeen (KP), Muhammad Syafiq Johari (Muhamad Hazwan Rahman), Muhammad Afiq Azmi dan Ahmad Dashila Tajudin.
FORMASI : 4-5-1
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Kelantan (6) Kuala Lumpur (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (7) Kuala Lumpur (1)
Sepakan penjuru : Kelantan (11) Kuala Lumpur (1)
Sepakan percuma : Kelantan (15) Kuala Lumpur (15)
Ofsaid : Kelantan (5) Kuala Lumpur (1)
Kekasaran : Kelantan (10) Kuala Lumpur (12)
Kad kuning : Kuala Lumpur (S Sivaraj dan Mohamed Aslam Haja Najumudeen)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :   Enam minit
Penguasaan bola : Kelantan (60%) Kuala Lumpur (40%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Shokri Nor
Penolong Pengadil 1: M Sivanesan
Penolong Pengadil 2: Mohd Faiz Che Mud
Pegawai Keempat : Mohd Ezani Said
Kommissioner Perlawanan : Kamaruddin Mohd
General Koordinator : Mohd Nazmi Mohd Nawi
Petikan dari Klate.Net
Nampaknya Ghaddar masih belum dapat menjaringkan gol padang.sampai bila kita nak tggu.Apakah perubahan yang bakal di lakukan oleh pngurusan pasukan? Buang ghaddar dan hanya tinggal Antwi sebagai striker import dan meletakkan midfield or defends sorang lagi? kita dah pinjamkan Okinne dan Zakaria ke pasukan K.L.Sempatke kita nak cari pengganti mereka berdua ni? Apa pun GO FOR MORE!!!!!!!!!!


No comments:

Post a Comment