Tuesday 31 January 2012

Kedudukan Ghaddar, Antwi Tergugat?


KOTA BHARU – Bukan lagi rahsia, bekas pemain pertahanan kebangsaan Nigeria, Obinna Nwaneri akan menjadi ‘kereta kebal’ terbaru The Red Warriors apabila mengikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semalam.
Keputusan Kafa mengikat Nwaneri selain kehadiran Samad Okocha dari Ghana yang mahu mencuba nasib bersama The Red Warriors sudah pasti impak kepada dua pemain import sekarang, Mohammed Ghaddar dan Denny Agyare Antwi.
Apa tidaknya, peluang Ghaddar, pemain kelahiran Beirut, Lubnan untuk kekal beraksi dalam kancah Liga Super seakan telur dihujung tanduk angkara ‘kurang bernasib baik’ gagal menjaringkan gol meskipun mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur tempohari.
Berlainan pula dengan Antwi, yang dianggap cukup ‘bernasib baik’ kerana berjaya menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan terakhir meskipun diturunkan selaku pemain gantian dalam pertemuan menentang Kedah dan Kuala Lumpur.
Malah kejayaan Antwi menjaringkan gol tersebut berjaya menghapuskan kecaman penyokong setia Kelantan yang dilontarkan sebelum itu tatkala Ghaddar, tidak dapat tidak perlu berdepan dengan pelbagai cemuhan rentetan kegagalan beliau menyempurnakan deretan peluang yang terhidang ketika bertemu Kuala Lumpur tempohari.
Keputusan Kafa mendapatkan khidmat Nwaneri dianggap cukup tepat kerana bukan sahaja dapat memperkukuhkan benteng pertahanan The Red Warriors malah mampu menyaingi kehebatan penyerang import negeri lain seperti Jean Emmanuel Effa Owona (Negeri Sembilan) dan Francis Forkey Doe (Terengganu) yang dianggap cukup berbisa setakat ini.
Sementara itu, Okocha yang akan diuji dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab Balistier Khalsa FC dari Singapura di Kota Baharu pada 4 Februari ini sudah pasti sedaya-upaya mahu memikat hati pihak pengurusan Kafa.
Andai Okocha juga berjaya menambat hati peminat The Red Warriors, masa depan  penyerang import sekarang, Ghaddar dan Antwi dalam kancah Liga Super musim ini pasti tergugat.
Segalanya terpulang kepada pihak pengurusan Kafa, sama ada mengekalkan Ghaddar dan Antwi terus beraksi dalam Liga Super atau menyenaraikan Ghaddar dan Nwaneri sebagai pasangan baru The Red Warriors selepas ini.
Tidak terkecuali juga, kemungkinan Nwaneri dan Okocha boleh menjadi senjata terbaru manakala Ghaddar dan Antwi pula didaftarkan beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semuanya akan terjawab sebelum 13 Februari ini.
Petikan dari Klate.net
Harap prtahanan kita makin utuh dan serangan kita makin tajam.Jangan doK harap ko Matyo jah nak score gol.Pemain import sepatutnya jauh lebih baik dari Matyo.GO FOR MORE!!!!!!!!!!!!!

No comments:

Post a Comment